Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 4pm

2 Anggota Polis Maut Dalam Pengeboman Kereta Di Afghanistan

LASHKAR GAH (Afghanistan) -- Sekurang-kurangnya dua anggota polis Afghanistan terbunuh manakala dua lagi cedera selepas sebuah kereta pengeboman bunuh diri merempuh pos kawalan di selatan wilayah Helmand pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap kerajaan wilayah.

Insiden itu berlaku pada kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan di kawasan Sayyed Abad dalam daerah Nad Ali, yang terletak di sebelah barat bandar Lashkar Gah, kata Omar Zwak.

"Seorang anggota militan Taliban meletupkan sebuah trak mini yang sarat dengan bahan letupan di depan pagar pos yang menempatkan pusat operasi kawalan dan perintah bersama pasukan keselamatan Afghanistan, yang menyebabkan kematian," kata Zwak.

Letupan itu turut memusnahkan sebuah kota kara di wilayah yang terkenal dengan penanaman popi serta aktiviti keganasan, yang terletak 555 kilometer di selatan Kabul.

Kematian dalam kalangan anggota keselamatan Afghanistan telah meningkat sejak awal tahun 2015 apabila tentera Afghanistan dan polis mengambil alih tanggungjawab keselamatan sepenuhnya daripada tentera Amerika Syarikat serta NATO.

-- BERNAMA