Thu07192018

LAST_UPDATEWed, 18 Jul 2018 11pm

Penduduk Mahu Jambatan Baharu

BESUT - Penduduk Parlimen Besut berharap selepas ini kerajaan membina sebuah jambatan baharu menghubungkan Dendong dengan Bukit Keluang yang dipisahkan Sungai Keluang bagi merancakkan lagi pembangunan Bukit Keluang dan Taman Ilmu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Keluang Keluang, Alias Salleh berkata, sebelum ini cadangan pembinaan jambatan itu disuarakan pemimpin daerah.

Menurutnya, sekiranya pembinaan itu menjadi kenyataan ia akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Dendong, Tembila dan Kampung Keluang.

“Kawasan Taman Ilmu ada beberapa IPTA seperti UnisZa dan selepas ini beberapa universiti lagi akan dibuka manakala di sebelah Bukit Keluang ada Politeknik, MRSM, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) dan sekiranya ada jambatan itu sudah tentu merancakkan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai bahan binaan, Nik Hasmira Nik Yahya, 31, berkata, penduduk daerah ini meminta kerajaan persekutuan atau negeri membina jalan empat lorong menghubungkan Kuala Terengganu ke Besut.

Menurutnya, sudah tiba masanya jalan tersebut dibina kerana ia mempercepatkan jalan perhubungan kedua-dua lokasi itu.

“Sekiranya jalan tersebut dibina sudah tentu ia akan menjimatkan masa antara Besut dan Terengganu yang sejauh kira-kira 110 kilometer ini berbanding sekarang sekitar satu setengah jam,” katanya.

#prusinar
#aparakyatmahu

-Sinar Harian