Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 4pm

[KEMASKINI] Rafizi Ramli Umum Tidak Bertanding PRU14

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli menyatakan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian dalam catatan di laman Twitter sebentar tadi memberi bayangan bahawa beliau bakal menyampaikan ucapan terakhir di Dewan Rakyat hari ini.

“Ucapan terakhir saya di Dewan Rakyat, hari ini sekitar jam 11.45 pagi. Saya tidak akan bertanding dalam PRU14 jadi ini adalah ucapan terakhir saya,” tulis Rafizi.

Ia dipercayai ada kaitan susulan Rafizi didapati bersalah melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), sekali gus menimbulkan keraguan mengenai keupayaannya untuk bertanding pada PRU ini.

Rafizi kemudian pada ucapan di Dewan Rakyat kira-kira jam 12.10 tengah hari tadi secara rasmi menegaskan bahawa ini merupakan ucapan terakhir beliau di Dewan Rakyat.

Beliau pada masa yang sama berterima kasih dan memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin dan Ahli Parlimen kerajaan susulan kritikan pedas yang dibuatnya sejak beberapa tahun lalu.

“Ini adalah ucapan terakhir saya di Dewan ini memandangkan saya tidak akan bertanding pada PRU-14 akan datang.

“Saya ingin meminta maaf sekiranya kritikan yang pedas sejak lima tahun lalu di Dewan ini ada yang melakukan hati, perasaan, saya tidak pernah ada perasaan benci, malah saya cukup senang dengan kawan-kawan daripada sebelah sana (kerajaan) yang bertukar-tukar pandangan. Kami sebenarnya baik di luar,” katanya memulakan ucapan.

Terdahulu, mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi kerana membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

Hukuman sama turut dijatuhkan terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad selepas didapati bersubahat dengan Rafizi, lapor Bernama.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari dan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata setakat ini Rafizi masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan, dan keputusan untuk menentukan sama ada beliau boleh bertanding atau sebaliknya masih belum diputuskan.

 - mD