Wed06202018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

FAM Sahkan Hanya Empat Ejen Pemain Berdaftar

Foto: BHFoto: BH

KUALA LUMPUR: Seperti tidak masuk akal apabila hanya empat ejen pemain yang berdaftar dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak Sistem Perantara diperkenalkan badan induk itu setahun lalu.

Namun, itulah realiti yang berlaku apabila ramai ejen tak berdaftar atau turut dikenali sebagai ejen haram 'berkeliaran' dalam pasaran pemain Liga Malaysia (Liga-M) tanpa mengira risiko yang bakal dihadapi.

Jumlah kecil ejen pemain yang berdaftar itu jika dibandingkan dengan kemasukan pemain import Liga Super dan Liga Perdana kira-kira 108 pemain dan pemain tempatan 612 jelas mencetuskan kebimbangan FAM sendiri.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada setiap pasukan berhubung Sistem Perantara selepas ia diluluskan oleh Exco tahun lalu.

"Kalau kita melihat kepada jumlah ejen berdaftar, memang mengecewakan kerana mereka ini tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan sedangkan apa yang kita lakukan ini selari dengan peraturan FIFA.

"FAM sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada setiap pasukan selepas kita menetapkan Sistem Perantara pada 7 Mac tahun lalu, tapi setakat ini pihak ejen, pasukan dan pemain sendiri seperti tidak ada kesedaran untuk memberikan kerjasama.

"Banyak kes berlaku sebelum ini, ejen serta pemain hanya datang kepada FAM bila berlakunya masalah kontrak seperti gaji tak dibayar atau sebagainya. Mereka ini hanya fikir nak senang dan keuntungan tanpa fikir risiko yang bakal dihadapi," katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam laporan Eksklusif Sukan NSTP semalam mendedahkan lambakan ejen haram mendominasi pasaran pemain Liga-M sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai nasib pemain dan pasukan tempatan.

Ejen haram ini dikhuatiri boleh 'lesap' pada bila-bila masa andai permasalahan berlaku khususnya membabitkan kontrak pemain dengan pasukan.

Terdapat juga kes di mana pasukan enggan membayar tuntutan pemain kerana masalah kontrak tidak seperti yang dijanjikan oleh ejen berkenaan.

Setakat ini hanya tiga ejen tempatan serta satu ejen asing yang sudah mendaftar dengan FAM dan Hamidin menjelaskan, ada pasukan atau pemain sendiri bersekongkol dengan ejen tak berdaftar ini.

"Di dalam dokumen kontrak pemain yang diserahkan oleh sesetengah pasukan ketika mendaftarkan pemain, mereka tidak meletakkan nama ejen seolah-olah pemain berkenaan tidak mempunyai ejen. Bila mereka tak tulis dalam kontrak maka kita tidak ada hitam putih untuk ambil tindakan, itu kekangan kita ketika ini.

"Tapi bila berlakunya kes berkaitan bayaran gaji, yuran perpindahan atau pampasan dibawa ke FAM selepas itu dan kita tahu ejen itu tak berdaftar, kita boleh ambil tindakan seperti denda. Kita sedang memikirkan cara terbaik untuk menguatkuasakan peraturan ini," tegasnya.

Tambah Hamidin, pokok pangkalnya isu ini adalah tahap profesionalisme setiap pihak yang terbabit tidak kira ejen, pasukan dan pemain.

"Kalau kita lihat liga di negara luar lebih profesional, England contohnya ada beratus-ratus ejen yang berdaftar. Sedangkan kita baru ada empat ejen berdaftar sejak tahun lalu. Dalam era bola sepak profesional, setiap peraturan perlu dipatuhi. Ejen perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika tidak mendaftar dengan FAM," katanya.

- BH Online