Tue07172018

LAST_UPDATEMon, 16 Jul 2018 10pm

[VIDEO] Tular Wanita Dakwa Polis Gagal Berikan Pertolongan; Respons Polis; & Apa Anda Perlu Buat

Seorang wanita kecewa selepas mendakwa tidak menerima layanan yang sewajarnya daripada anggota polis ketika cuba mendapatkan bantuan keselamatan di sebuah balai polis di Cheras, pada Isnin malam (12 Mac) – menggambarkan bagaimana dia berasa begitu tidak selamat tinggal di Malaysia.

Dalam dua rakaman video yang tular sejak semalam, mangsa dikenali sebagai Kogee Sinniah mendakwa dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu dia diekori sekumpulan lelaki yang memandu kereta jenis BMW semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput anaknya menjalani latihan.

Ketika dalam perjalanan pulang, wanita itu mendakwa melalui kawasan gelap dan penyelenggaraan di Alam Damai dan mengakui mungkin secara tidak sengaja memasuki laluan pemandu lain.

Dia kemudian menyedari sebuah kenderaan dinaiki tiga lelaki mula mengekori secara rapat, menurunkan tingkap dan menjerit ke arahnya dipercayai kerana berang selepas mangsa memandu dalam keadaan berbahaya.

Bimbang akan keselamatan dia dan anaknya, Kogee menghubungi pihak polis dan memberitahu anggota terbabit bahawa dia dalam perjalanan ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan bantuan.

Dalam rakaman pertama berdurasi lebih enam minit, Kogee yang dalam keadaan menangis di dalam kenderaan berkata sebaik sahaja tiba di persimpangan lampu isyarat, yang didakwa kira-kira 50 meter dari Balai Polis Alam Damai, pemandu BMW terbabit secara tiba-tiba menghalang laluannya.

Terkejut dengan tindakan pemandu terbabit, dia segera membunyikan hon bagi memberikan isyarat dengan harapan ‘seseorang datang membantunya’ memandangkan dia sudah berdekatan dengan balai polis.

“Saya berterusan membunyikan hon kira-kira dua atau tiga minit memanggil dan memberi isyarat untuk pertolongan tetapi tiada siapa (anggota polis) datang menolong saya.”

Pemandu terbabit kemudian berlalu pergi dan Kogee memandu ke pagar masuk balai polis tersebut, dan mendakwa anggota polis enggan membenarkan dia memasuki kawasan berkenaan.

“Saya tak boleh masuk sebab ada kon yang menghalang laluan. Anggota polis dari pos kawalan datang menghampiri dan perkara pertama yang dia tanya, “awak yang membunyikan hon tadi”.

“Jadi apa maksud ini? Dia sebenarnya dengar seseorang dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan tetapi tiada seorang daripada mereka datang untuk memeriksa apa yang berlaku.

“Pemandu BMW terbabit mungkin ada pistol. Mereka boleh menyerang saya. Anggota polis hanya 50 meter daripada saya,” dakwanya sambil menambah anggota polis hanya “memerhati” pakaian yang dipakainya.

Selepas didakwa tidak dibenarkan masuk ke balai polis, Kogee berkata kumpulan lelaki terbabit berpatah balik ke balai polis sebelum anggota polis menghampiri mereka, dipercayai mahu mendapatkan perjelasan berhubung perkara itu.

Dia menjelaskan sekali lagi terpaksa menghubungi talian 999 bagi memaklumkan bahawa dia tidak dibenarkan memasuki kawasan balai polis.

Dakwanya lagi, anggota polis kemudian memintanya supaya “bercakap baik-baik” ketika dia cuba menerangkan situasi sebenar.

“Akhirnya, dia (polis bertugas) benarkan saya masuk dan saya sedih bukan kerana saya berasa lemah tetapi kerana saya perlukan pertolongan. Saya buat perkara betul. Saya hubungi polis dan mencatat nombor pendaftaran kereta BMW itu dan saya meminta pertolongan,” ujarnya, menggesa netizen supaya menularkan rakaman tersebut.

Sementara dalam rakaman kedua dipercayai dirakam di sebuah kediaman, Kogee sekali lagi menjelaskan situasi yang berlaku apabila mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang anggota polis wanita bertanyakan mengapa dia tidak membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

Dia berkata; “Saya beritahu dia (anggota polis) saya hilang kepercayaan. Dia kemudian beritahu saya alasan kenapa lelaki terbabit mengekori saya kerana saya hampir melanggar keretanya.

“Adakah itu satu kesalahan? Tiada sesiapa beritahu mereka yang mereka boleh buat laporan polis bukannya mengekori dan menganggu saya. Saya rasanya seperti mereka (polis) sudah memutuskan ia adalah salah saya.”

Rakaman tersebut ditonton lebih 180,000 kali dan menerima reaksi pelbagai dalam kalangan netizen.

Respons Polis - "Berlaku Salah Faham"

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam kenyataan malam tadi berkata berlaku salah faham di pos kawalan balai polis sehingga menyebabkan pengadu yang berusia 41 tahun merasakan dirinya tidak dibenarkan masuk ke kawasan balai oleh anggota bertugas.

“Pengadu berasa tidak puas hati dengan tindakan anggota polis Balai Polis Alam Damai yang enggan membenarkan pengadu masuk ke kawasan balai.

“Dalam tempoh tersebut pihak balai telah membenarkan pengadu masuk ke kawasan balai polis serta menasihati dia untuk membuat laporan polis,” katanya.

Beliau menambah hasil soal siasat mendapati pengadu menyatakan tidak puas hati kerana anggota polis tidak membenarkan dia masuk ke kawasan balai ketika dalam keadaan trauma dan kesusahan susulan diekori oleh kenderaan yang dirasakan mengancam keselamatan dirinya.

“Pihak polis memahami bahawa wanita berkenaan dalam keadaan distress (kesusahan) dan cuba mendapatkan maklumat lanjut untuk membantu dia.

“Walau bagaimanapun dia telah beredar dari perkarangan balai. Sewajarnya, wanita berkenaan tidak patut berasa tidak selamat kerana dia telah berada dalam kawasan balai polis,” katanya.

Bertindak atas laporan, Mazlan berkata tiga lelaki Cina berumur lingkungan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara Berita Harian melaporkan, Mazlan berkata pihaknya menjamin bahawa siasatan secara mendalam dijalankan bagi mengetahui situasi sebenar dan memastikan tidak wujud penganiayaan kepada mana-mana pihak.

Anggota Bertugas Perlu Tenangkan Mangsa Trauma

Mengulas mengenai insiden tersebut, bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan berkata anggota polis yang bertugas di pos kawalan seharusnya tahu bagaimana untuk menenangkan wanita itu memandangkan dia dilihat berada dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Apabila dia pergi ke balai polis, dan polis tidak benarkan dia masuk (kawasan balai), ini menambahkan lagi trauma. Jadi sepatutnya dia perlu ditenteramkan terlebih dahulu oleh pegawai polis, dan dijemput masuk dalam keadaan tenteram supaya dia dapat buat laporan polis.

“Dan apabila polis tahan dia di luar, kereta yang ekori dia datang balik – polis sepatutnya bertindak terus dengan membawa masuk ke dalam dan memeriksa mereka. Jadi oleh kerana tiada tindakan (menahan kumpulan lelaki terbabit), dia merasakan dirinya tidak selamat,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest hari ini.

Ditanya mengenai sama ada anggota bertugas tidak melakukan langkah sewajarnya pada masa kejadian, Musa berkata: “Pasukan polis biasanya ada pegawai yang tahu untuk menguruskan mangsa-mangsa yang trauma, berkemungkinan pada malam kejadian, tiada pegawai yang bertugas (tahu urus mangsa trauma), maka berkemungkinan jadi begitu.

“Kita juga kena tahu keadaan anggota polis ketika itu – sama ada yang bertugas itu anggota baharu atau lama. Kalau baharu mungkin dia kurang tahu prosedur menguruskan orang trauma.”

Dari segi prosedur operasi standard (SOP), beliau menjelaskan dalam apa-apa keadaan sekalipun, atas faktor keselamatan anggota bertugas di pos kawalan balai polis perlu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada orang awam sebelum membenarkan mereka memasuki kawasan balai.

“Namun sekiranya melihat pengadu dalam keadaan trauma sebegitu, anggota polis sepatutnya benarkan dia masuk dan tenteram dia terlebih dahulu. Pengadu pula jika mahu masuk ke kawasan balai, kena beritahu anggota bertugas yang dia nak buat laporan polis,” ujarnya.

Bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang, Musa menyarankan bahawa adalah penting bagi setiap anggota polis yang bertugas di pos kawalan dan kaunter aduan supaya menjalani latihan menguruskan mangsa trauma.

Sementara orang awam pula katanya, jika berlaku apa-apa kecemasan hendaklah memberitahu anggota bertugas yang mereka berada dalam ketakutan.

- mD