Thu07192018

LAST_UPDATEThu, 19 Jul 2018 5pm

Kerajaan Perlu Siap Siaga Depani Isu Minyak Sawit

Foto: BernamaFoto: BernamaKUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah penting bagi mendepani 'perang perdagangan' atau 'trade war' daripada Kesatuan Eropah (EU) terhadap komoditi minyak sawit Malaysia, kata Anggota Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya jika langkah segera tidak diambil ia dijangka menjejaskan tiga hingga empat juta pekerja dan pengusaha sawit di negara ini termasuk di Indonesia.

"Saya pernah menjadi ketua eksekutif ladang sawit, pada saya kesannya kepada Malaysia dan Indonesia ialah lebih tiga atau empat juta pekerja dan penduduk yang akan menerima akibat 'perang perdagangan' terhadap hasil sawit kita di pasaran antarabangsa," katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Industri sawit menerima pelbagai tekanan daripada EU dengan yang terbaharu blok ekonomi itu merancang mengharamkan minyak sawit daripada campuran bahan api bio dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021.

Tindakan EU itu dikecam pelbagai pihak kerana bakal memberikan impak negatif terhadap Malaysia selaku antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia bersama-sama Indonesia.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-BERNAMA