Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Pasangan Sensasi Dyana Sofya Dan Zairil Khir Bertunang Esok?

Selepas bermain ‘tarik tali’ mengenai hubungan percintaan yang tercetus selama ini, pasangan politik sensasi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari dan Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dilaporkan bakal melangsungkan majlis pertunangan, esok.

Berita gembira mengenai pertunangan tersebut dikongsi oleh penganalisis politik, Lim Sian See di laman Facebook beliau hari ini.

Menurut Sian See, majlis pertunangan antara Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dengan bekas calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014 akan diadakan di Ipoh, Perak pada Sabtu.

“Tahniah kepada Dyana Sofya dan Zairil Khir Johari! Saya difahamkan mereka akan bertunang esok di Ipoh,” tulis Sian See di entrinya.

Beliau menambah jika benar berita tersebut, “Sekurang-kurangnya (mereka) tidak lagi perlu menyembunyikan atau menafikan foto-foto dan video yang sudah jelas benar sejak beberapa tahun lalu.”

“Ucapan yang terbaik buat pasangan bahagia (ini). Juga tidak lagi perlu berpura-pura yang mereka membuat laporan polis sedangkan mereka tidak,” katanya sambil berseloroh bertanyakan sama ada beliau akan dijemput ke majlis perkahwinan pasangan itu nanti.

Difahamkan, pada 5 Oktober tahun lalu Zairil telah menceraikan isteri keduanya Noor Dahlia Hamzah yang dikahwininya pada 11 Julai 2011, namun tidak dapat dipastikan mengenai kesahihannya.

Zairil juga pernah mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama yang dikenali sebagai Ulfah pada 7 Julai 2005.

Sementara itu Utusan Online melaporkan sumber memberitahu bahawa pasangan itu bercadang untuk melangsungkan pernikahan pada Jun ini iaitu selepas Ramadan.

Zairil dan Dyana Sofya mula terpalit dengan kontroversi selepas beberapa keping gambar mesra mereka tular di laman sosial pada Oktober 2014.

[BACA] Gambar Mesra Dyana Sofya Bercium Dengan Zairil Khir Tersebar

Skandal mereka semakin panas apabila sebuah rakaman video yang memaparkan dua individu mirip Dyana Sofya dan Zairil sedang rancak menarik di sebuah kelab malam menjadi tular di laman sosial pada April tahun lalu.

Ia terus menjadi teka-teki apabila Dyana Sofya seolah tidak menafikan atau mengesahkan individu di dalam rakaman tersebut.

Namun, pada Februari lalu Dyana Sofya sekali lagi diajukan dengan pertanyaan mengenai isu tersebut pada program bual bicara secara langsung di laman Facebook sebuah akhbar, tetapi beliau dilihat ‘mengelak untuk menjawab’, dan menukar kepada topik lain.

Semakan di laman Instagram Dyana Sofya juga menunjukkan netizen mula menzahirkan ucapan tahniah kepadanya, dipercayai ada kaitan dengan berita pertunangan yang dijangka berlangsung esok.

Apa-apa pun, jika benar perkara itu kami mengucapkan tahniah dan selamat bertunang!

- mD