Sun06242018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 3pm

Tak Jadi Hapus PTPTN: Penganalisis Kata Pembangkang Munafik, Tipu Anak Muda

Berdegar-degar dipentas ceramah pembangkang malah anak muda juga diheret ke jalanan pra Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) enam tahun lepas, bagi mendesak hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dihapuskan.

Naib Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad Pengarah Komunikasi parti dipetik Suara Keadilan pada 2013 berkata, dasar pinjaman oleh PTPTN membebankan rakyat dengan memberi kesan hutang berpanjangan.

"Harus diingat, kebanyakan mahasiswa yang menggunakan kemudahan PTPTN merupakan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Sekiranya keluarga mereka mampu, sudah tentu mereka tidak meminjam dana PTPTN," kata Nik Nazmi.

Alih-alih menjelang PRU14, Pakatan Harapan membuat pusingan-U untuk tidak bercadang untuk menghapuskan hutang PTPTN tetapi menangguhkannya sehingga peminjam memperoleh gaji sehingga RM4,000.

Penganalisis politik, Abdul Rahmat Omar Tun Hanif menyifatkan langkah ini sebagai satu pembohongan pembangkang kepada orang muda.

"Enam tahun yang lepas, semasa kita semua sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13, Pakatan Rakyat yang kini terkubur telah berjanji untuk menghapuskan PTPTN.

"Hari ini, Pakatan Harapan sekali lagi tampil memberi harapan palsu kepada anak-anak muda," katanya.

Sebelum PRU13 lalu, Pakatan Harapan (dahulunya dikenali Pakatan Rakyat) mendesak agar PTPTN dihapuskan diatas sebab pendidikan adalah hak rakyat.

Pada waktu itu, lebih 300 mahasiswa berhimpun di Dataran Merdeka menuntut penghapusan PTPTN yang turut disertai Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, selain melancarkan 'Occupy Dataran' selama seminggu bagi tujuan sama.

"Kalau dulu Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan PTPTN, kali ini Pakatan Harapan yang dikepalai oleh satu fossil hidup berumur 93 tahun yang kerap menjadi perabut Institut Jantung Negara bila ceramahnya tidak mendapat sambutan, mengubah janji tersebut dari pemansuhan kepada penangguhan pembayaran.

"Jadi, adik-adik, sekali lagi anda tertipu kerana setiap janji yang dibuat oleh Pakatan tidak akan ditunaikan. Malah, mereka lebih gemar membuat U-turn demi U-turn," kata Abdul Rahmat.

Sekali lagi, Pakatan Harapan berbohong berkaitan janji memberikan cuti bersalin sehingga 120 hari sepertimana disebut dalam bajet alternatif 2018 sebagai saingan kepada cuti bersalin sehingga 90 hari ditawarkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tetapi menerusi manifesto PRU14 yang dilancarkan baru-baru ini, cuti tersebut kini dikurangkan kepada 90 hari.

Hal ini sekaligus memperakui kenyataan 'kepala' Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad kebanyakan janji-janji yang disebutkan mereka sukar dicapai.

Abdul Rahmat kemudiannya memetik sabda Rasulullah SAW bermaksud

“Ada tiga tanda orang munafik, iaitu apabila dia bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia ingkar dan apabila diberi amanah dia khianat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

"Munafik! Inikah golongan yang anda ingin jadikan pemimpin?" tegas Abdul Rahmat.

- mD