Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 9pm

Musyawarah Pilih Calon

SERI MANJUNG - BN Perak menggunakan pendekatan musyawarah bersama parti komponen bagi memastikan calon yang dipilih boleh menang.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah timbul berkaitan pemilihan calon.

Menurutnya, ia harus diperhalusi sebaik mungkin bagi memastikan calon yang dipilih betul-betul layak.

“Apabila tiba di peringkat akhir kita akan mengadakan perbincangan dengan presiden parti komponen supaya tidak timbul sebarang masalah.

“Namun saya sering ingatkan kepada mereka (parti komponen) agar memastikan calon yang dipilih biarlah calon yang boleh menang,” katanya ketika sidang media selepas majlis kenduri sekampung di Kampung Teluk Penchalang, di sini semalam.

Zambry yang juga Adun Pangkor berkata, calon yang dipilih tidak boleh dibuat berdasarkan penilaian sendiri sahaja.

“Mungkin ada kerusi yang kita boleh menang tapi adalah malang jika kita tersalah pilih calon.

“Jadi setiap calon tidak boleh dipilih berdasarkan penilaian sendiri kerana calon berkenaan haruslah calon boleh menang,” katanya.

-Sinar Harian