Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

TERKINI: Sanusi Meninggal Dunia Tunggu Solat Subuh

Foto: BHFoto: BH

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, meninggal dunia ketika menunggu waktu solat subuh di rumah anaknya di Pantai Dalam di sini, pagi tadi.

Anaknya, Akramsyah Sanusi, berkata Allahyarham ditemui ahli keluarga dalam keadaan duduk ketika menunggu azan subuh.

"Malam tadi, beliau kelihatan sihat dan normal. Malah pagi tadi, Allahyarham bangun dan mengambil wuduk seperti biasa.

"Ketika menunggu azan subuh, kami mendapati arwah sudah tiada. Allahyarham pergi dalam keadaan yang baik," katanya ketika ditemui.

Akramsyah berkata, Sanusi menghidap beberapa penyakit, termasuk masalah jantung.

Katanya, jenazah arwah akan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, selepas sembahyang Jumaat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham pernah menyandang jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah dari 1996 hingga 1999.

- BH Online