Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 4pm

[VIDEO] Menteri Perjelas Bagaimana KR1M 2.0 Boleh Tawarkan Produk Berjenama Lebih Murah

Dakwaan pembangkang bahawa kerajaan gagal menguruskan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) secara sistematik sehingga membawa kepada ‘pemberhentian’ projek tersebut pada tahun lalu selepas ia mula diperkenalkan pada 2011, adalah tidak benar.

Ini kerana, pengstrukturan yang dilakukan menerusi pelancaran KR1M 2.0 membuktikan komitmen berterusan daripada kerajaan dan ia menjadi titik pengubah persepsi terhadap usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam membantu kehidupan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa sesi pertanyaan di Dewan Rakyat semalam (9 Mac) menegaskan penjenamaan semula KR1M 2.0 adalah bertepatan pada masanya, lebih terbuka dan berdaya maju.

Katanya, melalui inisiatif itu yang diperkenalkan pada Awal Februari lalu pihaknya yakin bahawa ia bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menikmati harga barangan yang murah dan berkualiti.

“Kerajaan akan terus membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuk usahawan bumiputera luar bandar dengan kerjasama syarikat-syarikat peruncit yang terlibat dengan KR1M 2.0 untuk menjual produk mereka di outlet-outlet KR1M 2.0.

“Produk-produk berkualiti tinggi, dan dapat dibekalkan secara konsisten. Namun, perkara ini hendaklah sentiasa dikaji tentang keadaan pelaksanaannya dan tidak dilakukan dengan tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira faktor lain seperti lokasi, pengangkutan dan pusat pengedaran,” katanya.

Terdahulu dalam satu laporan sebuah portal, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenaikan kos sara hidup dan kadar gaji yang rendah perlu diatasi oleh kerajaan, dan bukannya melalui pengenalan KR1M.

Dakwanya lagi, “pengenalan KR1M 2.0 juga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya memandangkan KR1M 1.0 gagal menawarkan harga yang murah.”

Hamzah menambah model perniagaan baharu yang berkonsepkan tiga kategori iaitu; kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik; dan penjenamaan bersama – dijamin membantu matlamat KR1M 2.0 tercapai.

Jelasnya, kerajaan menggunakan pelbagai mekanisme termasuklah bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengeluar terbesar seperti Nestlé , Faiza Sdn Bhd dan pasaraya-pasaraya besar, selain ia bakal diperluas ke kedai-kedai runcit persendirian tidak lama lagi.

Foto: MMOFoto: MMO

Kerjasama ini penting bagi memastikan produk yang dibekalkan adalah dalam kuantiti yang banyak supaya pengeluar-pengeluar dapat menurunkan harga, dan dalam masa yang sama mempertahankan kualiti dan jenama-jenama produk tersebut, kata Hamzah.

“Strategi kita sama dengan pasaraya-pasaraya besar iaitu konsep ‘loss leader’, kita jual produk-produk keperluan asas, dan kita akan tentukan supaya ia mempunyai pengedar yang mencukupi di kedai-kedai KR1M 2.0

“Dalam masa yang sama kita bekerjasama dengan pengeluar besar dan akan berbincang lagi dengan banyak syarikat yang mempunyai produk-produk berjenama yang memang diperlukan oleh rakyat.

“Kerjasama ini untuk memberikan sedikit kebebasan kepada kepada mereka (syarikat pengeluar) berdasarkan kriteria yang akan dipersetujui oleh kerajaan – yang akan memberikan kos untuk membawa masuk produk, jika ia diimport, ianya akan lebih rendah daripada harga pasaran sekarang,” katanya.

Memetik Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata KR1M 2.0 adalah penambahbaikan yang dilakukan terhadap program KR1M 1.0 selepas mengkaji kelemahan-kelemahannya berdasarkan maklum balas rakyat.

Sebanyak 50 jenis barangan keperluan harian berharga lebih murah berbanding harga pasaran akan ditawarkan menerusi KR1M 2.0.

“Ada beberapa perubahan dari segi ciri KR1M terdahulu dan KR1M sebelum ini yang mana sebelum ini kita melaksanakannya di kedai yang khusus sahaja. Namun kali ini kita melaksanakannya di kedai yang menjadi rakan kongsi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu Tunas Manja Group (TMG),” katanya pada Februari lalu.

Hamzah berkata, lebih 3,000 KR1M 2.0 akan dibuka di seluruh negara menjelang 2020 bagi memastikan rakyat di negara ini mendapat barangan keperluan yang berjenama pada harga yang lebih berpatutan.

- mD