Bhat Thai Kini Dengan Wajah Raja Baru

  • Print

BANGKOK – Bank pusat Thailand bakal mengeluarkan not baharu dengan wajah Raja Maha Vajiralongkorn menggantikan mendiang ayahandanya yang mangkat, Raja Bhumibol Adulyadej.

Not baru itu merupakan salah satu langkah peralihan ke era pemerintahan Raja Maha Vajiralongkorn, 65, yang naik takhta pada Disember 2016 dan perlahan-lahan mengenakan kuasanya dalam hal-ehwal pentadbiran negara namun masih belum memutuskan tarikh yang sesuai bagi upacara pertabalannya.
Advertisement

Ayahanda baginda amat disanjungi rakyat Thailand dan kemangkatan baginda diratapi oleh kebanyakan warga Thai yang memakai pakaian hitam selama tempoh setahun sebelum jenazah baginda dikremasi Oktober tahun lalu sebagai cara berkabung.

Wajah Raja Bhumibol telah dicetak di atas wang kertas Thailand sepanjang tujuh dekad pemerintahannya.

“Di masa hadapan, kami akan hanya mencetak not matawang baru sahaja,” kata Gabenor Bank Negara Thailand, Veerathai Santiprabhob kepada pihak media.

Wang kertas sedia ada masih sah digunakan dan not yang baharu akan mempunyai saiz dan warna yang sama.

Keluaran pertama wang kertas baharu dengan wajah Raja Maha Vajiralongkorn segak berpakaian tentera udara akan mula diedarkan pada 6 April ini.

– MYNEWSHUB.CC