Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

SPRM Siasat Skandal Penjualan Tanah Ijok

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lima syarikat dan merampas beberapa dokumen berkaitan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri seluas kira-kira 880 hektar di mukim Ijok kepada sebuah syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Menurut sumber, kelima-lima syarikat tersebut merupakan empat syarikat pemaju serta sebuah firma guaman.

“Dalam tiga serbuan semalam yang bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang manakala dua lagi dibuat pada hari ini dan kesemua dilakukan di sekitar Selangor. Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ke­tua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengesahkan serbuan tersebut dan memberitahu, pegawai penyiasat kini meneliti dokumen berkaitan secara terperinci untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sahkan kami telah pergi ke semua syarikat terbabit termasuk firma guaman semalam.

“Bagaimanapun, kami nafikan terdapat serbuan di pejabat Menteri Besar serta pejabat kerajaan negeri. Saya tidak tahu dari mana khabar angin itu timbul,” ujarnya.

Pada 15 Februari lalu, bekas Menteri Besar Sela­ngor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tin­dakan ke­rajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikan isu skandal tanah di mukim Ijok.

Abdul Kha­lid mahu pihak berkuasa me­nyiasat tindakan Kerajaan PKR Selangor berhubung isu terbabit kerana wujud pelbagai persoalan dalam proses penyelesaian skandal berkenaan, malah antara beliau dan peguam caranya tidak pernah dijemput hadir mengikuti sesi perbinca­ngan walaupun mereka merupakan antara pihak dalam kes ber­kenaan.

Sehari sebelum itu, Penga­rah Komunikasi Stra­tegik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dah­lan menuntut Mohamed Azmin memberi penjelasan me­ngenai tindakan tergesa-gesa Ahli Parlimen Gombak tersebut membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di mukim Ijok bernilai RM1.181 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses pe­ringkat Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan.

Pada November lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­minta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah mengenai isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan PKR Sela­ngor kepada dua syarikat.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn. Bhd., dan Mujur Zaman Sdn. Bhd., pada 1998 namun dirampas kerajaan negeri itu pada 2008 mengikut Kanun Ta­nah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

- Utusan Online