Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Cheng Guan Sangkal Akhbar Satar

KUALA LUMPUR: Dakwaan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar mengenai kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) disebabkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Felda dan penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli disangkal Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.

Berikut adalah teks penuh Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan :


Saya merujuk kepada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar yang mengatakan bahawa Indeks Rasuah Malaysia merosot kononnya kerana isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Felda dan penangkapan Ahli Parlimen Pamdan, Rafizi Ramli dalam kes beliau mendedahkan maklumat akaun peribadi syarikat Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Saya ingin mengingatkan Akhbar bahawa indeks rasuah di negara ini merosot bukan kerana isu 1MDB, Felda mahu pun kerana penangkapan Rafizi. Indeks rasuah kita merosot adalah kerana salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku di negeri- negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.

Contoh paling ketara adalah apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Ini berikutan kes skandal banglo beliau di Pulau Pinang yang mendapat liputan meluas dari media dari dalam dan luar negara. Walaupun sudah didakwa, Guan Eng masih tidak mahu meletakkan jawatan.

Sudah semestinya apabila seorang Ketua Menteri dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, persepsi rakyat dan orang asing terhadap negara kita akan merosot kerana mereka melihat di Malaysia seorang Ketua Menteri juga menyalahgunakan kuasa. Mengapa kes ini tidak diambil kira sebagai memberi impak kepada kemerosotan indeks rasuah negara?

Kedua adalah kes Banglo Disneyland di Selangor milik seorang pemimpin PKR. Kes ini juga memberikan impak yang negatif kepada negara apabila seorang pemimpin sayap PKR didakwa mempunyai kekayaan yang luar biasa. PKR pula merupakan parti yang menerajui kerajaan negeri Selangor. Ini sekaligus mewujudkan persepsi bahawa terdapat salah guna kuasa dan rasuah antara kerajaan negeri dan pemimpin parti PKR.

Ketiga pula merupakan skandal yang paling besar melibatkan pemimpin Pakatan Harapan iaitu skandal Forex yang menyebabkan bank negara hilang RM32 bilion. Malah kerajaan terpaksa menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat perkara ini. Kes ini juga telah mendapat perhatian dunia di mana pemimpin Pakatan Harapan bertanggungjawab akan kehilangan wang ini.

Keempat pula adalah skandal satu projek di Pulau Pinang yang sehingga hari ini tidak lagi bermula walaupun tanah rakyat sudah diberi kepada pemaju. Malah sehingga hari ini “feasibility report” pun masih tidak siap dan syarikat syarikat tujuan khas (SPV) yang diberi projek ini juga telah bertukar tangan. Lebih memalukan syarikat gergasi dari China juga terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan mereka terlibat dalam projek ini.

Akhir sekali, sudah semestinya kekayaan luar biasa pemimpin - pemimpin Pakatan Harapan juga membangkitkan persoalan mana mereka mendapat wang yang begitu banyak. Ada pemimpin Pakatan Harapan yang berceramah ke seluruh negara menggunakan jet peribadi dan kereta - kereta mewah. Dari mana mereka dapat duit sebanyak itu?

Apabila persoalan ini tidak dapat dijawab oleh pihak Pakatan Harapan, ianya memberikan persepsi bahawa wujud salah guna kuasa dan rasuah di kalangan mereka sekaligus menyebabkan indeks rasuah kita merosot. Oleh yang demikian, saya ingin ingatkan Akhbar supaya lain kali buat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Malah tidak wajar juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula dipersalahkan kerana konon nya mereka gagal membanteras rasuah. Ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab. Walhal SPRM sudah melakukan pelbagai usaha dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya rasuah dan juga aktiviti pencegahan rasuah. Malah beberapa tahun kebelakangan ini banyak kes rasuah yang telah diselesaikan oleh pihak SPRM.

Oleh itu, sebenarnya indeks persepsi rasuah Malaysia merosot adalah kerana skandal - skandal pemimpin Pakatan Harapan dan ini tidak termasuk lagi skandal seorang bekas Menteri Persekutuan yang berasal dari Sabah. Saya berharap Transparency International Malaysia akan berlaku jujur dan adil dalam hal ini dan berhentilah menjadi agen kepada Pakatan Harapan.

- UTUSAN ONLINE