Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Program 1MPAK Port Dickson: Pebagai Peluang Pekerjaan Ditawarkan

SEREMBAN: Pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan dan dipadankan untuk golongan muda di negeri ini pada program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang akan berlangsung di Politeknik Port Dickson, Ahad ini.

Pengarah Mara Negeri Sembilan Mimi Mazlin Mohamad Yusof berkata program yang bertujuan untuk membantu membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda khususnya belia di luar bandar, akan membabitkan penyertaan 28 syarikat yang berkolaborasi dengan agensi berkenaan.

"Walaupun peluang pekerjaan ini menyasarkan golongan belia namun tiada halangan untuk mana-mana individu di pelbagai peringkat umur untuk turut serta mencari kerja pada program tersebut kerana program 1MPAK ini bertujuan membantu melatih graduan berpotensi supaya dapat diwujudkan ekosistem keusahawanan sekali gus membantu menjana ekonomi masyarakat setempat," katanya.

Mimi Mazlin berkata demikian kepada pemberita pada sidang media program siri jelajah 1MPAK Parlimen Telok Kemang, di sini.

Selain peluang pekerjaan, beliau berkata terdapat potongan 50 peratus harga yuran pendaftaran ditawarkan kepada belia yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi terpilih seperti German Malaysian Institute (GMI), Bangi, Selangor.

"Bagi belia yang berminat dalam bidang keusahawanan pula, mereka boleh hadir ke program 1MPAK agar mereka tidak terlepas daripada beberapa kemudahan yang disediakan MARA dari segi latihan, pembiayaan dan premis perniagaan," kata Mimi Mazlin.

1MPAK dilancarkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada 27 Jan lepas dan ia merupakan satu inisiatif KKLW yang diterajui Mara dengan matlamat untuk mencapai mobiliti sosial dan ekonomi terutamanya kepada kumpulan sasar iaitu isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Bagi fasa pertama pelaksanaan 1MPAK, siri jelajah ke 26 daerah terpilih akan dilakukan ke seluruh negara dalam usaha menyebarkan maklumat tentang program itu khususnya kepada komuniti setempat selain menguar-uarkan inisiatif lain ditawarkan kementerian itu dan Mara serta agensi lain di bawah KKLW.

Ismail Sabri pada 24 Jan lepas dipetik sebagai berkata 1MPAK, merupakan sebahagian program jangka panjang Mara yang menyasarkan kira-kira 250,000 peluang pekerjaan dicipta dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus mengatasi masalah pengangguran dalam negara.

1MPAK, telah menarik minat penyertaan syarikat daripada industri bernilai tinggi seperti perkhidmatan perniagaan, elektrikal dan elektronik, automotif dan aeroangkasa untuk bersama menjayakan program itu.

- Bernama