Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

[VIDEO] Bertumbuk Sebab Berebut Parkir

 

Insiden berebut petak parkir kereta sehingga mencetuskan pergaduhan bukan sesuatu yang asing, dan kali ini ia melibatkan dua pemandu kenderaan di Singapura.

Kejadian berlaku di pusat beli-belah Chinatown Point kira-kira jam 5.26 petang pada 9 Februari lalu dan ia dirakam oleh kamera papan pemuka milik pemandu kenderaan lain, yang berada di lokasi kejadian.

Portal Stomp semalam melaporkan, saksi kejadian yang dikenali sebagai Alan berkata ketika kejadian tersebut dia mahu membelok ke kanan apabila pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapannya secara tiba-tiba mengamuk.

Video kejadian yang dikongsi oleh Alan kepada portal berita tersebut memaparkan pemandu kenderaan berwarna putih pada mulanya membelok ke kanan seketika sebelum mengundur untuk memasuki petak parkir yang baharu dikosongkan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan MPV yang memakai baju berwarna kuning secara tiba-tiba turun dari keretanya dalam keadaan marah dan meluru ke arah pemandu van tersebut.

Dia dilihat cuba menarik pemandu van tersebut, dan mencapai objek dipercayai bag dan mencampaknya ke lantai.

Seorang lelaki, dipercayai kawan kepada pemandu van tersebut kemudian berhampiri lelaki berbaju kuning itu sebelum berlaku insiden berbalas tumbukan.

Tidak lama selepas itu, pemandu van tersebut pula keluar dari kenderaannya bagi menyertai pergaduhan itu, melepaskan tendangan dan pukulan sebelum menarik leher dan menolak lelaki berbaju kuning sehingga jatuh ke lantai.

Melihat situasi semakin genting, penumpang yang berada di dalam kedua-dua kenderaan masing-masing keluar dan cuba menghentikan pergaduhan tersebut.

Pergaduhan itu berjaya dileraikan, namun lelaki berbaju kuning seolah masih tidak berpuas hati apabila bertindak memandu kenderaan dan berhenti di hadapan salah seorang lelaki terbabit, dipercayai sebagai satu tindakan menggugut.

Alan kemudian membelok ke kanan dan berhenti tidak jauh dari van tersebut sebelum rakamannya berakhir.

Sementara dalam laporan berasingan, Stomp hari ini melaporkan jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.29 petang, hari sama.

“Tiga lelaki berusia antara 25 dan 51 tahun ditahan susulan insiden tersebut,” katanya.

Siasatan lanjut berhubung insiden itu masih dijalankan.

- mD