Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 4pm

[KEMASKINI] Anak Perempuan Ratu Cantik Filipina Diganggu 10 Lelaki, Sunway Lagoon Tidak Lagi Selamat?

 Foto: iloveruffag Foto: iloveruffag

Taman tema air Sunway Lagoon yang terkenal dengan lokasi pilihan utama keluarga, dalam dan luar negara kini sudah tidak selamat lagi? Persoalan itu boleh ditimbulkan susulan insiden melibatkan dua anak perempuan bekas ratu cantik Filipina, Ruffa Gutierrez yang didakwa diganggu sekumpulan lelaki, pada 15 Februari lalu.

Dalam insiden mengejutkan itu, Gutierrez – yang mempunyai jumlah pengikut lebih satu juta di akaun Instagram mendakwa kira-kira 10 lelaki yang disifatkan ‘buruk dan jijik’ bertindak melakukan perbuatan tidak sopan dan merakam gambar dua anak perempuannya, Lorin Gabriella, 15, dan Venice Bektas, 14.

“Taman teman seperti @SunwayLagoonMY tidak sepatutnya membiarkan lelaki menyeramkan berada dalam kawasan mereka. Taman tema harus menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga menikmati percutian mereka,” tulis bintang televisyen berusia 43 tahun itu di laman Twitternya, susulan insiden tersebut.

Berkongsi mengenai insiden yang disifatkan Gutierrez sebagai “hari yang paling tertekan dalam hidupnya”, beliau seperti dilapor Malay Mail memetik Manila’s ABS-CBN News berkata, ketika kejadian dua anaknya pergi bermain roller coaster, manakala beliau dan rakannya pergi membeli makanan.

“Anak-anak saya datang dalam keadaan menangis dan memberitahu diganggu sekumpulan lelaki tua yang merakam gambar mereka dan membuat ‘blowing kiss’," katanya di laman Instagram.

Kelakuan biadap tersebut tidak berakhir di situ apabila Gutierrez mendakwa kumpulan lelaki itu semakin agresif dan mahu menyerang mereka selepas kawan-kawannya memberi amaran supaya menghentikan perbuatan keji itu.

“Kita pergi ke taman tema untuk berseronok dengan anak dan langsung tidak sedar bahawa ia tidak selamat. Mengejutkan.”

Beberapa media turut melaporkan Gutierrez memuat naik gambar kumpulan lelaki itu di ‘IG story’ dengan berkata, “Lelaki-lelaki ini patut malu dengan diri mereka sendiri”.

Gambar tersebut memaparkan kumpulan lelaki itu yang memakai baju t-shirt berwarna hitam tanpa rasa bersalah menunjukan isyarat ‘peace’ ketika gambarnya dirakam, dan nampaknya mereka tidak tahu dengan siapa mereka berdepan.

“Kamu cari pasal dengan mereka, kamu cari pasal dengan saya,” Gutierrez memberi amaran sehari selepas insiden dramatik tersebut, dengan memuat naik gambar indah bersama dua anak perempuannya.

Bengang dengan insiden itu, rata-rata pengikut di laman sosial Gutierrez meluahkan rasa tidak puas hati dan simpati, selain ada yang mendakwa kejadian sedemikian antara punca yang menyebabkan mereka tidak lagi mengunjungi Malaysia.

"Sebab itulah anak perempuan saya tidak mahu lagi melawat Malaysia terutamanya anak perempuan sulung saya kerana seseorang merabanya ketika dia berjalan di jalan. Dia trauma. Saya mungkin akan ke sana untuk tujuan perniagaan sahaja. Tapi kebanyakan orang di sana baik. Hanya perlu lebih berhati-hati,” tulis pengguna Twitter, April C (@shinee_freakey).

"Simpati dengan apa yang berlaku kepada awak dan anak-anak perempuan awak. Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat malu dengan apa yang dilakukan oleh lelaki-lelaki pengecut itu. Masih terdapat ramai orang yang baik di Malaysia...,” tulis sarawrhlee.

Tidak mahu membiarkan pengunjung-pengunjung mereka berasa kurang selesa, Sunway Lagoon menerusi respons pertama mereka terhadap insiden yang menimpa Gutierrez dan keluarganya meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

“Kami kesal dengan kejadian malang itu dan pihak pengurusan kami sekarang sedang mengendalikan aduan beliau,” tulis Sunway Lagoon pada 15 Februari lalu.

Malah, Sunway Lagoon membuktikan sikap komited mereka untuk memastikan setiap masalah yang berlaku kepada para pengunjung mereka, sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Buktinya, Gutierrez pada 16 Februari memaklumkan bahawa pengurus besar Sunway Lagoon, Calvin Ho telah menghubungi beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung insiden tersebut.

"Diharapkan insiden ini boleh membuka mata (pengendali) taman tema. Itu tidak akan berlaku lagi kepada kanak-kanak yang tidak bersalah dan pelancong asing pada masa depan," tulisnya.

Beliau turut melahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan dan tindakan pantas pihak pengurusan taman tema terkenal itu dalam mengendali kes tersebut, sambil menambah insiden itu tidak membuatkan beliau serik untuk kembali mengunjungi Malaysia.

Bahkan, selepas lima hari insiden tersebut berlaku Sunway Lagoon dalam kenyataan terbaharu semalam (20 Feb) memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian itu dan sedang berhubung dengan Gutierrez bagi membantu siasatan.

“Sunway Lagoon akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada pihak terbabit dan membantu menjawab soalan pihak media mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menegaskan bahawa Sunway Lagoon merupakan lokasi taman tema yang menyeronokkan, kenyataan itu menambah, “Keselamatan tetamu kami sentiasa menjadi keutamaan, oleh itu perlakuan tidak baik di taman tema ini sama sekali tidak akan dipandang remeh dan akan diselesaikan mengikut prosedur yang ketat.”

Terima kasih kepada pihak Sunway Lagoon kerana begitu profesional dalam menangani isu ini. Namun, diharapkan pihak Sunway lagoon dapat meningkatkan kawalan keselamatan pada masa depan bagi menjamin insiden sedemikian tidak berulang lagi terhadap mana-mana pengunjung, dan mana-mana individu – tidak kira siapa anda, sekiranya berdepan dengan kejadian menjijikkan ini, beranikan diri untuk bersuara!

- mD