Sun06242018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 3pm

11 Rakyat Thailand Diselamatkan Dalam Operasi Bersama Polis Malaysia-Thailand

Gambar ihsan daripada polis Thailand.Gambar ihsan daripada polis Thailand.

BANGKOK – Sebelas orang rakyat Thailand yang dipercayai dipaksa bekerja bagi sindiket “Macau Scam” didalangi lelaki warga Taiwan di Kuala Lumpur telah diselamatkan dalam operasi bersama oleh polis Malaysia dan Thailand di sini hari ini.

Dalam serbuan yang dilancarkan oleh  Polis Malaysia susulan risikan  oleh Polis Thailand ke atas sebuah sebuah bangunan 10 tingkat di Sri Petaling, lima warga Taiwan termasuk seorang lelaki dipercayai dalang sindiket transnasional itu juga ditahan.

"Rakyat Thailand yang diselamatkan itu dipercayai dikurung dan dipaksa bekerja dengan anggota sindiket dengan memperdayakan mangsa di Thailand untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank sindiket,” kata timbalan ketua Biro Polis Pelancongan, Mej Jen Surachet Hakpan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam tempoh dua bulan beroperasi, Surachet yang juga mengetuai pusat operasi Polis Thailand bagi membanteras pusat panggilan palsu, berkata sindiket tersebut telah menipu sejumlah 100 juta Baht (RM12.8 juta) daripada mangsa . 

Surachet yang menyertai operasi hari ini berkata serbuan hari ini adalah sebahagian daripada siasatan lanjutan terhadap operasi minggu lepas di Phnom Penh dan Sihanoukville apabila polis menahan seramai 26 rakyat Thailand, enam warga Taiwan dan lima rakyat Kemboja, disyaki anggota sindiket "Macau Scam".

Operasi itu dijalankan bersama oleh pasukan polis Thailand dan Kemboja.

Dalam serbuan hari ini, Polis Malaysia dan Thailand menemui beberapa  telefon, router internet, peralatan bagi Voice Over Internet Protocol (VOIP), senarai mangsa serta nama pegawai tinggi Thailand yang digunakan oleh sindiket untuk menipu mangsa.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga menemukan transkrip sebagai panduan kepada anggota sindiket apabila bercakap dengan mangsa. 

Menurut Surachet, rakyat Thailand yang diselamatkan dalam operasi hari ini akan dihantar pulang ke Thailand selepas polis Malaysia menyelesaikan prosedur undang-undang.   

-- BERNAMA