Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 8pm

Beasley Tenang Biarpun Malaysia Gagal Menyerlah Di ATC 2018

John Beasley.John Beasley.

NILAI --Jurulatih Berbasikal Trek negara, John Beasley masih tenang biarpun  menyaksikan skuad berbasikal trek Malaysia diketuai oleh Juara Keirin Dunia, Mohd Azizulhasni Awang gagal menyerlah pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2018 di Velodrom Nasional, Nilai, yang melabuhkan  tirainya hari ini. 

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata skuad bimbingannya lebih banyak menghabiskan waktu  latihan di gimnasium sebagai  persiapan rapi untuk Kejohanan Berbasikal Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2018 penghujung bulan ini sebelum menyertai Sukan Komanwel 2018, pada April.

Beliau berkata kemajuan  pasukan itu boleh dilihat secara berperingkat dan persiapan mereka adalah di landasan yang betul bagi memastikan pelumba boleh mencapai kemuncak  mereka pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang. Ogos depan.

“Saya rasa kami ada naik dan turun di sini, banyak lagi kerja yang kami perlu lakukan.  Kami  meluangkan banyak masa berlatih di gimnasium sebelum kejohanan bermula dan tidak ada masa  untuk  memperlahankannya  kerana kami akan bertanding di Kejohanan Dunia dan juga Sukan Komanwel.  

Tapi saya juga gembira, jika kita lihat berapa banyak peningkatan Mohd Azizulhasni dan Shah (Muhammad  Shah Firdaus Shahrom),” katanya. 

“Ini menunjukkan kami menuju ke arah yang betul dan anda tahu ini semua adalah mengenai Tokyo 2020. Kami mahu memperlihatkan sedikit apa yang kami ada dalam Sukan Asia Ogos.  Di sanalah anda akan menyaksikan aksi terbaik kami musim ini, “katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Pada masa yang sama, Beasley menggesa semua pihak supaya tidak melupakan skuad negara dan terus memberikan sokongan selepas kegagalan pelumba elit, Mohd Azizulhasni, Muhammad Shah dan Fatehah Mustapa dalam menyumbangkan kilauan  emas untuk penyokong  tempatan.

“Kami berada di landasan yang betul, cuma kekalkan keyakinan kepada kami kerana banyak lagi yang akan datang. Dalam Sukan Komanwel saya jangkakan Azizulhasni dan Shah akan  beraksi  cemerlang  sebagaimana anda saksikan mereka  berada dalam keadaan yang baik dan kejohanan ini akan melonjakkan mereka ke tahap satu lagi,” katanya.   

Mohd Azizulhasni hanya mampu memperoleh satu pingat perak dalam acara pecut lelaki dan gangsa  dalam acara keirin lelaki tetapi beliau memecahkan rekod 10 saat pada aras laut buat kali pertama  dalam  acara pecut. 

Lebih bermakna, rekod 9.774s yang dicatatnya dalam pusingan kelayakan pada ACT 2018 memecahkan  rekod kebangsaan 10.073s yang dilakukannya selain daripada rekod Asia 9.843s yang dicipta pelumba  Jepun Nitta Yudai, tahun lepas. 

Pada masa yang sama, Malaysia mengakhiri ATC 2018 tanpa  pingat pada hari terakhir selepas  jaguh  berbasikal trek wanita negara, Fatehah gagal menaiki podium selepas mendapat tempat keenam pada final keirin wanita hari ini. 

-- BERNAMA