Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 4pm

Muhyiddin Salahkan Kerajaan Walaupun Beliau Sendiri Luluskan Projek NFC

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti memberi jawapan cuci tangan dalam isu projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) walaupun beliau adalah menteri bertanggungjawab terhadap kelulusan projek tersebut pada 2006 selaku peneraju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Malah dalam sidang akhbar beliau di sini hari ini, Muhyiddin juga seolah terkena sindrom ketuanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila memberi jawapan ‘tidak ingat’ ketika ditanya lanjut berhubung pengetahuannya mengenai perkembangan NFC sepanjang menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sebaliknya, Muhyiddin seper­ti menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha ternakan da­ging lembu itu apabila projek berke­naan mula dikatakan tidak mencapai prestasi yang diharapkan.

Muhyiddin yang kini menjadi perhatian selepas status Twitter Penasihat DAP, Lim Kit Siang tujuh tahun lalu berhubung desakannya supaya beliau menjawab isu NFC kembali tular sebaliknya mengaitkan projek tersebut adalah idea bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meningkatkan bekalan da­ging negara.

“Saya tidak ingat, sudah lama,” kata­nya yang menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dari tahun 2004 hingga 2008 ketika ditanya oleh pemberita selepas tamat sidang akhbar tersebut.

- Utusan Online