Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 9am

Petroleum Sarawak Aktif Dua Tahun Lagi

KUCHING: Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak (Petros) menyasarkan untuk aktif sepenuhnya dalam industri minyak dan gas dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan penubuhan Petros, kerajaan negeri menjangkakan dapat menjadi pemain aktif dalam industri minyak dan gas bersama dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Katanya, kerajaan negeri juga yakin pembinaan loji metanol di Bintulu akan menarik lebih banyak pelaburan termasuk Petros dalam sektor hiliran minyak.

“Kita (Sarawak) sudah menandatangani persetujuan untuk membeli kepentingan 10 peratus dalam LNG 9 Sdn. Bhd. (LNG 9) di Bintulu dan berharap dapat meningkatkan kepentingan dalam LNG 3 Sdn. Bhd. (LNG 3) daripada 10 kepada 25 peratus,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2018 di sini hari ini.

LNG 9 merupakan lapangan gas NC3 di blok SK316 projek eks­port gas asli cecair (LNG) Malaysia, yang diusahakan bersama antara Petronas dengan JX Nippon Oil & Energy Corp.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau yakin dapat menepis pandangan skeptikal beberapa pihak yang kurang yakin dengan keupayaan Petros dengan membuktikan bahawa syarikat itu tidak hanya menjadi satu lagi Pengeluaran Perkongsian Kontrak syarikat (SPA), tetapi akan beroperasi bersama serta memainkan peranan aktif dalam aktiviti hiliran minyak dan gas di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya sudah melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk menerajui Petros dan akan melancarkan syarikat terbabit secara rasmi tidak lama lagi.

Dalam pada itu, katanya, Sarawak turut akan membina projek grid air negeri membabitkan kos RM1 bilion menggunakan dana kerajaan negeri yang mana fasa pertama akan dilaksanakan dari Batang Ai, Sri Aman ke Tanjung Manis di Mukah.

“Sarawak mempunyai banyak air di empangan yang boleh disalurkan untuk bekalan air bersih kepada penduduk luar bandar dan kawasan pesisir pantai.

“Pembinaan fasa pertama projek ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun, manakala fasa baki meliputi keseluruhan negeri ini akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan.

“Saya menjangkakan antara RM6 hingga RM7 bilion diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan projek air grid negeri ini,” katanya.

- Utusan Online