Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 9am

Lagi Kes Bapa Dera Anak, Anak Cedera Di Otak Dan Mata

TAIPING: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera bayi perempuannya berusia enam bulan sehingga menyebabkan pendarahan otak, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja kantin kilang, didakwa mendera anak keduanya, Nur Kayra sehingga mengalami kecederaan pendarahan otak di sebuah rumah di Kampung Paya Baru, Kamunting di sini pada pukul 3 petang, 2 Februari lalu.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua­nya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini, sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia di Hospital Taiping dipercayai akibat didera.

Ibu mangsa bagaimanapun mendakwa, kejadian berlaku selepas anak bongsunya itu terjatuh dari buaian.

Namun begitu, hasil laporan pengimbasan tomografi berkomputer oleh pihak hospital me­nunjukkan mangsa mengalami pendarahan otak dan dalam mata.

- Utusan Online