Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 4pm

Hadapi Gantung Seumur Hidup

KUALA LUMPUR: Pemain yang didapati ber­salah kerana mengatur perlawanan bakal berdepan penggantungan se­umur hidup berdasarkan kepada peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sumber yang arif mengenai peraturan BWF memberitahu, proses undang-undang melibatkan kesalahan mengatur perlawanan kebiasaannya mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan kerana pelbagai perkara termasuk bukti perlu dinilai secara terperinci.

Katanya, selepas laporan mengenainya diterima, BWF akan menjalankan siasatan sebelum kes itu dibi­carakan oleh badan bebas bagi memberi ruang kepada individu yang terlibat untuk membela diri sebelum hukuman dijatuhkan.

“Berdasarkan kepada 
per­aturan yang ditetapkan, se­andai­nya individu tersebut didapati bersalah, mereka akan dikenakan penggantungan 
se­umur hidup dan mereka tidak berpeluang untuk merayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sukan badminton tanah air dikejutkan dengan insiden dua pemain bebas sedang disiasat oleh BWF berhubung kesalahan mengatur perlawanan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam sidang akhbar semalam mengesahkan bahawa dua pemain profesional negara sedang disiasat oleh BWF mengenai perkara itu selesai, namun enggan mendedahkannya secara terperinci.

Kedua-dua pemain tersebut kini sedang menjalani proses penggantungan sementara dan tidak dibenarkan menyertai sebarang kejohanan sehingga kes itu selesai.

Difahamkan BWF akan mengadakan perbicaraan kes itu di Si­ngapura hujung bulan ini untuk membolehkan pemain terbabit membela diri terhadap dakwaan mengatur perlawanan selepas badan induk dunia itu mengesyaki pemain berkenaan berdasarkan gaya hidup mewah dipamerkannya kebelakangan ini.

Seorang pegawai BWF yang dihubungi Utusan Malaysia enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

- Utusan Online