Wed02212018

LAST_UPDATEWed, 21 Feb 2018 1pm

Iraq Jambatan Perantaraan Manfaat, Bukan Medan Peperangan - PM Iraq

Haidar Al-Abadi.Haidar Al-Abadi.

KUWAIT CITY – Perdana Menteri Iraq, Haidar Al-Abadi, berharap negaranya akan menjadi sebuah jambatan perantaraan untuk manfaat seluruh dunia dan bukan medan peperangan tempat pertumpahan darah.

Beliau berkata negara itu akan menjadi pintu perkongsian manfaat dan kepentingan untuk seluruh negara di rantau ini.

“Visi Iraq (yang baharu) adalah berdasarkan prinsip saling melengkapi dan menjadikan negara ini sebagai platform kerjasama lebih erat di samping memupuk persefahaman bersama.

“Suatu ketika, Iraq telah mengalami banyak halangan dalam melaksanakan perkembangan pelaburan seperti birokrasi, undang-undang tidak selaras dan rasuah pentadbiran yang menyebabkan negara ini mewujudkan peraturan baharu bagi persekitaran ekonomi yang kukuh,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) di sini pada Rabu.

KICRI, yang dipengerusikan bersama oleh Kuwait, Iraq, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia, bertujuan mengumpul dana daripada pelbagai pihak serta menggerakkan sokongan antarabangsa bagi pembinaan semula infrastruktur di Iraq selepas kemusnahan yang dilakukan kumpulan militan Daesh di negara itu.

Pada 10 Dis lepas, Al-Abadi, telah mengisytiharkan pembebasan sepenuhnya negara Iraq daripada cengkaman dan penguasaan Daesh.

Mengulas lanjut, Al-Abadi berkata Iraq memerlukan pembaharuan infrastruktur dan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan peluang pelaburan yang ada di negara itu.

Beliau juga berharap peserta persidangan akan bekerjasama dalam proses pembangunan semula Iraq untuk keamanan dan kesejahteraan berterusan di negara itu.

Katanya, Kuwait telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan pembinaan semula Iraq menerusi penganjuran persidangan antarabangsa itu.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, atas inisiatif penganjuran persidangan ini dan seluruh peserta yang turut bersama memberi sokongan,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Pesuruhjaya Tinggi Kesatuan Eropah (EU) Federica Mugrini dan Presiden Bank Dunia Jim Young Kim.

-- BERNAMA