Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 4pm

Peruntukan Sampai Kepada Rakyat, Kemiskinan Menurun

KOTA KINABALU - Kerjasama dan kesepakatan antara Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selaku peneraju peranan jabatan Persekutuan dan jabatan kerajaan negeri Sabah telah dapat memastikan peruntukan pembangunan disalurkan kerajaan sampai kepada rakyat.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata ini dapat dilihat menerusi prestasi dan pencapaian pelaksanaan projek pembangunan di bawah Pelan Pusingan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang lebih baik sekali gus mendorong kepada penurunan ketara kadar kemiskinan di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan atas sokongan serta sumbangan PTD kepada pembangunan Sabah termasuk dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

“Saya percaya, semangat kesepakatan dan kerjasama erat antara pegawai perkhidmatan negeri dan Persekutuan khususnya PTD akan membuahkan hasil dan impak yang positif.

"Bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap adalah penting bagi memastikan program dilaksanakan kerajaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat,” katanya pada Majlis Malam Ikatan Kasih Bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini, malam ini.

Turut dihadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Datuk Nor Rizan Mohd Thani.

Musa berkata hubungan kerjasama antara PTD dan pemimpin tempatan di Sabah juga perlu lebih akrab bagi membolehkan semua pelaksanaan projek atau program kerajaan mencapai matlamat sekali gus sampai kepada golongan sasar.

“Ini termasuk membincangkan sebarang masalah atau isu yang timbul bagi tujuan penyelesaian secara baik dan memberi manfaat kepada semua pihak”, katanya.

Dalam pada itu, Musa berharap semua PTD akan terus memberi komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan program memperkasa kesejahteraan hidup kumpulan sasar sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kesungguhan serta kewibawaan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan memacu pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi.

- Bernama