Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 4pm

Pembangkang Tiada Kredibiliti - Khairul Azwan

IPOH – Pakatan pembangkang tidak mempunyai kredibiliti kerana sering meracuni pemikiran rakyat dengan perkara negatif yang tidak mempunyai sebarang kesahihan, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

Beliau berkata strategi itu telah digunakan pembangkang sejak beberapa pilihan raya terdahulu ,namun ia dilihat tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Pembangkang di Perak ini sama macam pembangkang di negeri lain. Mereka hasut dan racun pemikiran rakyat dengan pelbagai dakyah, pembohongan.

"Namun apa yang kita nampak, rakyat telah sedar melalui rekod pencapaian yang telah kita (Umno dan BN) bawa menerusi program-program pembangunan yang telah dilaksanakan," katanya dalam sidang media selepas Program Penyampaian Bantuan Tahun Baharu Cina kepada 50 penerima di Wisma Umno Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata agenda pembangunan dan kemajuan yang menjadi tunjang kepada struktur pentadbiran negara pada ketika ini juga akan akan diteruskan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk kekal memerintah pada PRU14.

"Inilah wadah atau parti yang boleh memastikan kestabilan sama ada di bidang politik, ekonomi dan juga kebahagiaan rakyat itu dapat diteruskan apabila rakyat memberi sokongan dan undi pada BN," katanya.

- Bernama