Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 4pm

Pemandu Lori Tangki Minyak Maut Dalam Nahas

BELURAN - Seorang pemandu lori tangki minyak maut selepas lori dipandunya terbalik dalam nahas jalan raya di Kilometer 150 Jalan Beluran-Paitan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Shivanathan Velautham berkata, mangsa dikenali sebagai Lee Nyuk Fook, 53, dari Sandakan mati di tempat kejadian, manakala kelindannya Rumih bin Yosep, 18, patah kaki kiri.

Shivanathan berkata dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu, lori tersebut dalam perjalanan menghantar minyak ke Kota Marudu.

Menurutnya ketika melalui satu selekoh dan menuruni bukit, brek lori tidak berfungsi menyebabkan lori melanggar lereng bukit dan terbalik.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat, manakala kelindan lori dihantar menerima rawatan di Klinik Kesihatan Nangoh, katanya.

Sivanathan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama