Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 4pm

Enam Kedai Barangan Lusuh Biak Aedes Dikompaun

KEMAMAN - Perbuatan enam pemilik kedai barangan lusuh di daerah ini membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan aedas membawa padah apabila dikenakan kompaun berjumlah RM3,000.

Kompaun sebanyak RM500 dikenakan ke atas setiap kedai itu pada operasi selama dua hari yang dijalankan bermula semalam dan berakhir hari ini.

Dalam operasi yang dijalankan seramai 18 anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kemaman itu, tempat pembiakan aedes ditemui di enam premis berkenaan.

Pada operasi tersebut sebanyak 24 premis diperiksa keseluruhannya antaranya kedai-kedai menjual peralatan besi buruk, premis jual beli kereta terpakai, bengkel kereta dan premis kitar semula.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, enam premis itu dikeluarkan tawaran kompaun maksimum di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Katanya, jika sabit kesalahan, premis yang didapati ada pembiakan nyamuk aedes boleh didakwa ke mahkamah dengan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya di bawah akta yang sama.

"Operasi ini dijalankan untuk mencegah dan mengawal penularan denggi melalui tindakan penguatkuasaan secara bersepadu agar dapat memberikan impak yang positif terhadap kesejahteraan rakyat.

"Premis barangan lusuh memang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi untuk menjadi tempat pembiakan aedes memandangkan peralatan dan barangan yang dijual terdedah kepada air hujan," katanya.

Menurut Anuar, jika dibiar secara berterusan, bekas barangan terpakai itu boleh menyebabkan air bertakung dan boleh menjadi tempat pembiakan aedes.

Susulan itu, beliau mengingatkan pengusaha premis barangan lusuh agar lebih bertanggungjawab bagi memastikan tempat simpanan barangan lusuh berkenaan terlindung dan tidak terdedah dengan air hujan.

"Pemeriksaan secara berkala seminggu sekali perlu dijalankan dan langkah kawalan penggunaan racun pembunuh nyamuk iaitu abate juga boleh diamalkan," katanya lagi.

-Sinar Harian