Sun05202018

LAST_UPDATESun, 20 May 2018 9pm

Dua Beranak Ditahan Jual Air Ketum

JERANTUT - Dua beranak disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum ditahan dalam serbuan di rumah mereka di Felda Kota Gelanggi 2 di sini, hari ini.

Penahanan itu membabitkan seorang bapa berusia 63 tahun bersama anaknya (31 tahun) oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dalam sebuan kira-kira 10.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Suprintendan Mazlan Hassan berkata, dua beranak itu ditahan susulan tangkapan lima lelaki dipercayai pelanggan mereka yang sedang leka minum sebotol air ketum di sebuah kedai makan di tanah rancangan itu, malam tadi.

"Hasil siasatan ke atas mereka membawa kepada penangkapan dua beranak terbabit yang juga suspek utama aktiviti penjualan air ketum di sekitar Felda Kota Gelanggi dan Felda Sungai Tekam Utara sejak dua tahun lalu.

"Hasil serbuan itu juga, polis turut berjaya merampas sebanyak 75 botol besar dan 14 bungkusan plastik mengandungi cecair disyaki air ketum yang disembunyikan di belakang rumah," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya juga berjaya menahan dua lagi suspek di sebuah lagi rumah di Felda Kota Gelanggi 2 dan 4 sekali gus menjadikan keseluruhan tangkapan ialah sembilan orang.

Menurutnya, anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1,400 dan suspek utama dipercayai menjual sebotol air ketum berukuran 1.5 liter pada harga RM20 manakala air ketum yang dibungkus dalam plastik berharga RM10.

"Hasil siasatan ke atas kesemua suspek pula mendapati dua dari mereka mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 di mana anak suspek utama pernah ditahan kerana terlibat dalam kesalahan menjual air ketum pada Jun tahun lalu," katanya.

Kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 64 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Kesemua mereka kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) di lokap IPD Jerantut untuk siasatan lanjut sehingga 17 Februari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum empat tahun dan denda sehingga RM10,000.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil air ketum kerana ia bukan sahaja menyalahi akta malah boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

-Sinar Harian