Sun02252018

LAST_UPDATEMon, 26 Feb 2018 8am

PPS Terakhir Di Sarawak Ditutup

KUCHING - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terakhir di Dewan Suarah Mukah di bahagian tengah Sarawak ditutup pada 12.30 tengah hari ini ekoran keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lepas, walaupun ada beberapa kawasan rendah dalam negeri yang masih digenangi air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Benca Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan hari ini berkata PPS yang dibuka sejak 8 Feb lepas itu ditutup setelah semua 14 mangsa daripada empat keluarga yang tinggal hari ini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurutnya keseluruhan 47 PPS dibuka secara berperingkat di 14 daerah di Sarawak sejak banjir melanda di beberapa tempat sekitar awal bulan ini.

Seramai 7,103 mangsa banjir daripada 2,016 keluarga berlindung di 47 PPS yang dibuka di 10 bahagian di Sarawak, ekoran paras air yang naik di 200 kawasan di seluruh negeri, menurut kenyataan itu.

Sementara itu menurutnya hari ini lapan sekolah masih tidak dapat beroperasi iaitu SK Klid/Plajau dan SK Luke Ng Baoh (M) di Dalat; SK Kuala Kenyana, SK Kampung Sau, SK Kampung Teh, dan SK Penakup Ulu di Mukah dan SK Kuala Bok serta SK Long Teru di Baram, yang keseluruhannya membabitkan 513 murid.

- Bernama