Sun02252018

LAST_UPDATEMon, 26 Feb 2018 8am

Ibu Muda Bunuh Anak Usia Dua Tahun Sebab 'Dengar Bisikan'

Seorang budak berusia dua setengah tahun maut selepas dibunuh oleh ibu kandungnya sendiri, selepas suspek mendakwa mendengar ‘suara bisikan’ yang mengarahkan dia berbuat demikian di rumahnya di Kabupaten Batang, Jawa Tengah, Indonesia.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, ibu muda berusia 17 tahun, Nur Saskia Wati didakwa memperlakukan mangsa secara kejam dengan cara menekap muka anaknya dengan bantal, mencekik sebelum kepala budak malang itu diputar sehingga menyebabkan lehernya patah.

Memetik Nasional Republika, Ketua Polis Resor Batang, AKBP Edi Suranta Sinulingga, berkata pihaknya kini masih menjalankan siasatan terperinci dan menyoal siasat suspek berhubung kematian mangsa.

“Saat ini, kami masih menunggu lagi pasukan Disaster and Victim Investigation(DVI) Polda Jateng, untuk menyiasat dan memastikan punca utama kematian mangsa,” katanya pada 11 Februari lalu.

Jelasnya, kes kematian budak berkenaan terbongkar selepas ibu mertua suspek mula curiga akan kehilangannya dan mula mencari mangsa termasuk di rumah jiran dan saudara mereka.

Edi Suranta menambah wanita berkenaan kemudian pergi ke rumah mangsa untuk mencarinya.

“Ibu mertua suspek curiga sehinggakan memaksa dia membuka tombol pintu yang dikunci dari luar sebelum menemui mangsa terbaring di dalam bilik tidur, sudah meninggal dunia,” katanya.

Wanita berkenaan kemudian bersama penduduk setempat melaporkan insiden tersebut di Balai Polis Subah, dan pegawai bertugas dikerah untuk melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terhadap tanda-tanda mangsa telah didera.

“Berdasar keterangan Nur Saskia Wati, anaknya dianiaya dengan cara menutup muka mangsa menggunakan bantal sehingga dia sukar bernafas.

“Suspek juga mengaku membunuh anaknya kerana dia ada mendengar ‘bisikan’ atau ‘terbayang’ untuk menghabiskan nyawa mangsa,” katanya.

Difahamkan, leher mangsa turut diputar sehingga patah. Suspek didakwa tertekan kerana suaminya merantau ke Malaysia.

- mD