Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 2pm

Undi Rosak, Tidak Mengundi Dan Tidak Daftar Undi Hukumnya HARAM! - Mufti Wilayah

Tindakan merosakkan kertas undi dalam memilih calon wakil ketika pilihan raya disifatkan sebagai haram dalam Islam, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri.

Katanya, tindakan tersebut akan menjadikan perpecahan dalam kalangan masyarakat terutama umat Islam semakin berleluasa, justeru melanggar perintah Allah untuk menjaga keamanan dan tidak bertelagah sesama sendiri.

Menerusi penjelasan Bayyan Linnas Siri ke-126: Hukum Merosakkan Undi, Dr Zulkifli menegaskan bahawa proses mengundi bukan sahaja hak semua warga rakyat Malaysia, tetapi juga salah satu proses pelaksanaan perlembagaan dan undang-undang - iaitu memilih pemimpin.

Jelasnya, ulama-ulama Islam seperti Imam al-Ghazali, Imam Mawar dan Imam al-Haramain al-Juwaini pernah merungkaikan tanggungjawab wajib seorang pemimpin dalam meneruskan tugas kenabian.

Begitu juga Imam al-Nasafi didalam kitab al-Aqaid al-Nasafiyyah yang berkata: "Pemerintah adalah pengganti rasul Alaihimussalam dalam menegakkan agama sekira-kira menjadi wajib atas semua umat dan pengikut.”

Dari sudut akademik pula, kempen menyebarkan ideologi undi rosak juga menyalahi undang-undang dan boleh didakwa dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Meskipun begitu, setakat hari ini tiada pertuduhan jenayah difailkan atau kes yang membicarakan melibatkan perbuatan undi rosak berdasarkan akta-akta yang disebutkan," kata Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek.

Dr Zulkifli menjelaskan, kedudukan pemerintah umpama paksi dalam bulatan yang akan merealisisakan perpaduan melalui kepimpinannya disamping menjaga kestabilan undang-undang demi keharmonian sejagat.

"Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya.

"Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya," menjelaskan kepentingan memilih pemimpin.

Tambahnya, Islam berdepan dengan kemunculan ancaman dan usaha untuk memadamkan ketidakstabilan adalah menerusi pemerintah Islam adil yang boleh membawa rakyatnya ke jalan yang betul daripada kekeliruan dan kebingungan akibat kejahilan.

Justeru Mufti Wilayah berpendapat bahawa undi rosak memberi banyak keburukan, bukan sahaja kepada negara, malah rakyat sendiri dan menyifatkan hukum meroskkan undi adalah HARAM.

"Makanya kami cenderung untuk menyatakan bahawa haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi," kata Dr Zulkifli.

- mD