Mon05212018

LAST_UPDATESun, 20 May 2018 9pm

[VIDEO] Lepas ‘Mat Bangla’, KJ Bantu Masak Ikan Pula Sempena Tahun Baharu

Selepas ‘Mat Bangla’ dan abang jual ayam percik, Khairy Jamaluddin kini muncul pula dengan ‘buah tangan’ terbaharu beliau, tetapi kali ini istimewa sempena sambutan Tahun Baharu Cina, yang bakal disambut oleh seluruh kaum Cina beberapa hari sahaja lagi.

Menteri Belia dan Sukan itu, yang sememangnya diketahui bukan sahaja hebat dalam menarik perhatian golongan belia, dan berbakat dalam bidang lakonan – muncul dalam rakaman mesej video bersama masyarakat Cina di Rembau, Negeri Sembilan.

Walaupun ‘simple’, namun video berdurasi dua minit lima saat itu yang mengisahkan tentang makna disebalik masakan ikan yang sering menjadi hidangan popular dalam kalangan kaum Cina setiap kali sambutan perayaan, berjaya memberi pengalaman yang cukup indah buat Ahli Parlimen Rembau itu.

“Melalui pengalaman ini, saya memahami bahawa masakan ikan mempunyai banyak maknanya yang tersendiri, terutama semasa sambutan makan besar. Antara lain, hidangan itu melambangkan kemakmuran yang melimpah-ruah,” demikian tulis Khairy di laman Facebook beliau, pada Selasa.

Rakaman video tersebut dijalankan di restoran Mui Fong di Pekan Rembau bersama pemiliknya, Aunty Yin Fah dan suami, Uncle Leong.

Menerusi video pendek tersebut, Khairy yang terkenal dengan tagline ‘Tall, Dark and Handsome’ bersama anak sulungnya, Jibreil Ali pergi ke restoran tersebut untuk meminta Yin Fah memasakkan mereka hidangan ikan.

Yin Fah kemudian mengajak dua beranak itu untuk sama-sama membantu beliau menyediakan masakan ikan tersebut, yang disifatkan sebagai hidangan yang membawa ‘Ong’ (tuah) kepada kaum Cina.

“Memang kita selalu dijanjikan hasil yang lebih kurang sama di mata, tapi nikmat yang sebenar-benarnya akan hanya dirasa bila dibuat dengan penuh ikhlas oleh orang yang tahu cara yang terbaik...,” kata Khairi dipetik dalam dialog rakaman tersebut.

Masakan ikan yang lazat dan penuh bermakna itu kemudian dihidangkan dan dinikmati bersama sekumpulan masyarakat Cina termasuk bersama suami Yin Fah, Leong. Video berakhir dengan ucapan sempena Tahun Baharu Cina.

“Terima kasih diucapkan terutama kepada Aunty Yin Fah, pemilik restoran Mui Fong di Pekan Rembau serta suaminya, Uncle Leong kerana sudi mengajar Jibreil dan saya untuk menyediakan hidangan istimewa berkenaan.

“Buat masyarakat Tionghua secara keseluruhan, selamat bercuti dan selamat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dan sahabat handai. Semoga kemakmuran yang Malaysia nikmati selama ini akan terus kita kekalkan,” tulis Khairy.

Rakaman yang dimuat naik semalam sehingga kini mendapat tontonan lebih 191,000 kali dan dikongsi lebih 2,415 pengguna Facebook, yang rata-rata terkesan dengan mesej, keikhasan dan kreativiti video tersebut.

Malah, tidak kurang juga yang memuji kehebatan Khairy, yang disifatkan sebagai ‘steady’ dan ‘ohsem’ (awesome) kerana mampu menyampaikan mesej dengan jelas kepada masyarakat melalui penghasilan video yang ringkas tersebut.

Malaysian Digest mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina, semoga tahun ini terus memberi kemakmuran dan rezeki yang melimpah-ruah. Gong Xi Fa Cai!

- mD