Sun02182018

LAST_UPDATESun, 18 Feb 2018 3pm

Penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China Di Sabah Beri Sumbangan Besar Hubungan Sabah-China

Foto: BernamaFoto: BernamaKOTA KINABALU: Penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu telah memberi sumbangan penting untuk mengukuhkan hubungan Sabah-China, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata penubuhannya juga menjadikan hubungan Sabah-China semakin erat dan meningkatkan pertukaran antara Sabah dan pelbagai tempat di China.

Menurut Musa, jumlah pelancong China yang melawat Sabah mencecah kira-kira 430,000 orang tahun lepas dan ketibaan pelancong China terus menjana faedah ekonomi yang besar kepada Sabah.

"Berdasarkan trend semasa, kami menjangka untuk mengalu-alukan lebih ramai pelancong dan pelabur dalam masa terdekat... Kami sentiasa terbuka untuk mendengar daripada anda (China) tentang bagaimana untuk memudahkan perdagangan, pelancongan, pelaburan dan sektor lain selaras dengan visi untuk membawa lebih kemakmuran kepada China dan Malaysia, khususnya Sabah," kata beliau.

Musa berkata semikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu malam ini.

Turut hadir Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan beberapa menteri kabinet negeri.

Sementara itu, Musa memuji China kerana peranannya yang semakin meningkat di pentas global dalam membina masyarakat untuk masa depan bersama bagi umat manusia.

"Presiden China, Xi Jinping telah mencadangkan membina sebuah komuniti masa depan bersama untuk umat manusia. Inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan mencerminkan visi dan usaha China dalam membina masa depan bersama dan Malaysia telah memberi respon yang positif kepada inisiatif ini dan inisiatif lain yang berkaitan," kata Musa.

Dalam konteks sejarah, Musa berkata mereka yang berhijrah dari China dan menetap di Malaysia telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam bidang perdagangan, pendidikan dan sebagai profesional dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, hari ini, kaum Cina di Malaysia ialah satu daripada komponen penting dalam masyarakat di negara ini.

Musa juga menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada semua yang menyambut perayaan itu.

-BERNAMA