Tue04242018

LAST_UPDATETue, 24 Apr 2018 4pm

Hilman Authentic Jadikan Kasut Agen Perpaduan

Tahun ini merupakan tahun yang mencabar bagi negara kita, baik daripada segi ekonomi mahupun politik. Tempoh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada 24 Jun 2018. Rakyat umumnya dan pemerhati politik khususnya telah mula meramalkan tarikh pilihan raya umum sejak 2017 lagi. Apa yang kurang enak, seperti acap kali berlaku setiap musim pilihan raya, di samping perang parti, pengadu domba mula mengeluarkan kata-kata berbau perkauman di sebalik kebebasan media sosial demi mencapai cita-cita politik masing-masing.

Ketika perang saraf semakin hangat dalam kalangan pengamal dan penyokong politik, seorang anak muda ingin mencari kelainan demi mempertahankan perpaduan negara. Hilman, anak seorang bekas pengawal keselamatan, diajar mengenai perpaduan ketika melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD). Persahabatan beliau yang begitu erat dengan rakan-rakan pelbagai kaum kekal hingga ke hari ini.

Seperti dikongsikan dalam artikel saya terdahulu, Hilman merupakan pengasas Hilman Authentic, jenama kasut keluaran tempatan yang bermutu tinggi. Hilman Authentic telah berjaya memasarkan ribuan “elevated shoes”, kasut yang memberi penyelesaian kepada pengguna yang mengalami masalah kurang ketinggian dan postur tulang belakang yang tidak lurus. Selain moden dan elegan, kasut Hilman Authentic mampu meningkatkan ketinggian pengguna sebanyak 7 cm. Inilah yang membezakan kasut Hilman Authentic dengan kasut lain.

Tidak cukup dengan pelbagai koleksi kasut untuk ke pejabat mahupun kasut untuk bersantai, Hilman menghasilkan pula “Kevlar Tactical Boots”, sejenis kasut keselamatan setaraf dengan jenama terkenal Red Wings untuk kegunaan syarikat minyak dan gas (O&G). Kevlar merupakan cap dagang yang menjadi nama bagi fiber sintetik para-aramid yang kuat dan bermutu tinggi yang digunakan dalam pembuatan jaket kalis peluru disebabkan kekuatan dan ketahanannya.

Kini, sebagai seorang pencinta keamanan dan perpaduan negara, Hilman telah berkolaborasi dengan seorang artis tempatan, Izzati Suza, untuk mengeluarkan kasut edisi khas yang bertemakan pelbagai lapisan kaum dan permainan tradisional di Malaysia. Kasut eksklusif ini cuma dikeluarkan sebanyak 600 pasang sahaja.

“Saya begitu sedih apabila melihat hubungan antara kaum dan agama di negara kita semakin rapuh. Sebab itulah saya mengambil mengambil inisiatif untuk mengeluarkan kasut edisi terhad Hilman Authentic - Izzati Suza dengan harapan ini dapat mewujudkan persekitaran bangsa yang harmoni di Malaysia.”

“Saya amat berharap agar sumbangan kecil saya untuk perpaduan negara, dengan kasut edisi terhad ini, dapat mengurangkan prejudis dan anak-anak muda dapat bersatu dengan semangat 1Malaysia”, ujar Hilman.

Begitulah luahan Hilman. Hakikatnya, masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya. Perpaduan dalam kepelbagaian yang telah dibina perlu dipertahankan. Sedangkan di negara sebangsa pun boleh berlaku perang yang tidak berkesudahan atau berlarutan begitu lama, dipisahkan kepada Utara dan Selatan, Timur dan Barat, apatah lagi negara kita yang berbilang kaum dan agama. Maka, usah disia-siakan aset berharga yang memerlukan begitu banyak usaha dan pengorbanan untuk diwujudkan ini hilang begitu sahaja.

Hari ini, ramai yang nampaknya begitu lantang bersuara tanpa memikirkan implikasi kata-kata dan perbuatan mereka. Memburukkan lagi keadaan apabila pihak yang tergores hati pula memberi reaksi balas dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang beremosi dan sensitif. Ini menyebabkan hubungan antara kaum mahupun sesama kaum semakin rapuh kerana ternyata kesabaran manusia ada hadnya.

Hubungan antara kaum di Semenanjung Malaysia terutamanya sudah tidak seperti dahulu. Kita sering membaca tulisan atau kenyataan yang boleh menggugat perpaduan dalam media konvesional mahupun sosial. Polarisasi kaum juga semakin meluas dan ini cukup membimbangkan.

Perasaan curiga-mencurigai jelas ada dalam kalangan masyarakat kita. Makna perpaduan antara kaum sudah pupus dalam minda mereka. Masyarakat seolah-olah hanya boleh bersetuju dan bersatu hati dalam soal makanan dan sukan sahaja. Ali masih menyukai char kuetiau” dan tandoori, manakala Ah Chong masih gemar menjamah nasi lemak dan roti canai. Ali, Ah Chong dan Muthusamy sama-sama memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada tokoh badminton kita, Datuk Lee Chong Wei. Adakah dua aspek ini sahaja yang mampu menyatukan kita?

Kerap kita lihat dalam kalangan orang Melayu yang tidak dapat mengawal perasaan dan mengutuk orang Cina dan India dalam media sosial. Tidak kurang juga orang Cina dan India mengejek dan menghina orang Melayu. Malah, sikap ini wujud dalam kalangan sekaum, melibatkan sama ada perang parti atau individu.

Sama ada gosip atau fitnah, semua ini begitu mudah menjadi viral dan mengganggu pemikiran rakyat. Sangat rugi bilamana kita sepatutnya fokus kepada perkara-perkara yang bermanfaat, bukan untuk diri sendiri dan keluarga sahaja tetapi untuk membantu mendukung aspirasi pembangunan negara.

Perkara ini rasanya sangat kurang, jika ada sekalipun, dilaporkan berlaku di Sabah dan Sarawak. Rasanya sikap tolak ansur dalam kalangan masyarakat yang lebih berbilang kaum di sana lebih tinggi berbanding dengan masyarakat di Semenanjung.

Isu perpaduan antara kaum sering dibangkitkan oleh pemimpin kita dengan menyasarkan golongan muda yang akan mengharungi Transformasi Nasional 2050 (TN50). Menyambut seruan inilah pemilik nama sebenar Muhammad Noor Hilman memutuskan untuk menggunakan minat, kelebihan dan pengetahuan yang ada padanya dengan menjadikan kasut sebagai agen perpaduan terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Rekaan terbaru Hilman Authentic lebih cenderung ke arah golongan muda kerana Hilman ingin memberi dorongan dan mewujudkan peluang bagi generasi muda untuk mempamerkan bakat mereka yang terpendam. Tidak menyasarkan keuntungan semata-mata, Hilman terpanggil untuk menginspirasikan anak-anak muda agar mereka menggunakan kreativiti masing-masing dan berani untuk mengaplikasi serta mengembangkan bakat mereka untuk bergerak lebih jauh. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan pelapis pemimpin dan penggerak ekonomi masa hadapan.

Sebagai orang muda juga, Hilman sentiasa mendekatkan diri dengan golongan muda yang masih banyak tenaga dan idea agar mereka sedar dan menggunakan bakat yang ada pada mereka. Pendedahan kepada anak-anak muda ini sekaligus mengajar dan memberi mereka peluang untuk menjana pendapatan. Demi mencapai hasrat inilah Hilman Authentic membuat keputusan bekerjasama dengan Izzati Suza. Kasut Edisi Khas jenama Hilman Authentic ini boleh dibeli secara online di http://hilmanauthentic.com/ atau menerusi media sosial Hilman Authentic di Facebook dan Instagram.

Dengan rekaan terbarunya, harapan Hilman adalah adalah agar anak-anak muda berani mengembangkan bakat mereka tanpa rasa rendah diri atau takut untuk bercita-cita besar. Tahniah Hilman! Semoga terus berjaya dan teruskanlah menginspirasi.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan