Thu07192018

LAST_UPDATEThu, 19 Jul 2018 5pm

Kedah Sedia Kerjasama Dengan FAMA Tambah Pasar Tani

ALOR SETAR -- Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Lembaga PemasaranPertanian Persekutuan (FAMA) bagi menambah bilangan pasar tani kekal yang terdapat di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya bersedia menyediakan tapak untuk pasar tani kekal tersebut dengan proses pembinaan yang akan diuruskan FAMA sendiri.

“Pasar tani kekal itu akan memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan pengguna serta ia akan beroperasi pada setiap hari berbanding pasar tani biasa yang hanya dibuka sekali hingga tiga kali seminggu.

“Saya lihat projek ini akan membantu peniaga-peniaga kecil untuk memasarkan produk jualan mereka di dalam satu bangunan yang disediakan kerajaan dan FAMA,” katanya kepada pemberita selepas melawat PasarTani Taman Wira Mergong di sini, hari ini.

Hingga kini, Kedah mempunyai empat pasar tani kekal iaitu di Guar Chempedak, Changlun, Sungai Petani dan Kuala Kedah.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada 400 keluarga yang dipilih oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu dan berjumpa dengan imam surau.

“Saya telah berbincang dan mendengar permasalahan yang diutarakan oleh imam dari enam surau yang berada di sekitar kawasan ini. Saya akan membantu menyelesaikan masalah mereka dari segi pengurusan dan penambahbaikan surau-surau tersebut,” katanya.

-- BERNAMA