Wed01172018

LAST_UPDATEWed, 17 Jan 2018 11pm

ASEAN, India Bekerjasama Meningkatkan Sekuriti Makanan

Datuk Seri Tajuddin Abdul RahmanDatuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

NEW DELHI -- ASEAN dan India bersetuju bekerjasama lebih rapat dalam meningkatkan sekuriti  makanan serta menangani cabaran perubahan iklim pada mesyuarat pegawai kanan pertanian mereka di sini pada Jumaat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mewakili Malaysia pada pertemuan peringkat menteri.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan menteri terbabit berkata ASEAN dan India menggariskan kepentingan menangani perubahan iklim memandangkan impak negatifnya terhadap sekuriti makanan dan bersedia bekerjasama dari segi bertukar kepakaran bagi mengatasi bahaya persekitaran. 

Mereka berbincang tentang kerjasama seterusnya dalam bidang seperti pengeluaran makanan, penternakan, perikanan dan perhutanan.

India berkata ia komited untuk bekerja dengan negara-negara ASEAN  bagi membangunkan kawasan pedalaman dan membasmi kemiskinan seiring pelaksanaan Wawasan 2025 Komuniti ASEAN dan Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030.

“Pertanian dan sekuriti makanan kekal antara bidang utama tumpuan kerajaan India dengan matlamat utama memastikan sekuriti makanan dan nutrisi  pada harga berpatutan dalam persekitaran mesra alam.

“Pertanian amat penting dalam konteks rantau kita memandangkan majoriti penduduk masih  bergantung padanya sebagai sumber mata pencarian,” katanya Menteri Pertanian India Radha Mohan Singh dalam ucapan.

Menteri-menteri pertanian ASEAN dan India akan mengadakan pertemuan seterusnya di Brunei Darussalam pada 2019. 

-- BERNAMA