Wed04252018

LAST_UPDATEWed, 25 Apr 2018 4pm

Anak Meninggal Dunia, Ibu Menyusul Pergi

KOTA BHARU: Bagaikan sudah berjanji, takdir tidak lama memisahkan hubungan dan kasih yang erat antara seorang ibu dan anak di Kampung Bechah Keranji di sini yang meninggal dunia selang 16 jam sahaja.

Warga emas, Che Limah Che Mat Amin, 93, menemui ajalnya pada pukul 10.50 pagi ini sebaik sahaja anak tunggalnya, Ahmad Che Soh, 49, selesai dikafankan tanpa sempat mengucup jenazah anaknya itu.

Menurut balu kepada Ahmad, Wan Sepinah Wan Hasan, 54, arwah suaminya meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zaimab Ii ( HRPZII) pukul 7.30 malam tadi setelah enam hari dirawat akibat serangan angin ahmar.

“Sebelum sempat jenazah arwah suami dibawa turun dari rumah untuk dikebumikan pagi tadi tiba-tiba saya diberitahu bahawa ibu mentua saya yang ketika itu berada di bilik sebelah telah meninggal dunia.

“Ibu mentua saya sudah lama sakit tua tetapi keadaan kesihatannya semakin merosot selepas Subuh pagi tadi, sejak dahulu lagi arwah suamilah yang menjaga setiap keperluan dia dan masanya lebih banyak dihabiskan untuk berbakti kepadanya.

“Pernah semasa Ahmad mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur semasa mudanya dulu dia dipanggil pulang hanya selepas tiga minggu bekerja, ibunya tidak mahu orang lain menjaganya melainkan Ahmad” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini petang ini.

Hampir 200 penduduk hadir menunaikan solat jenazah Che Limah petang ini selepas menyempurnakan fardhu kifayah itu untuk anaknya terlebih dahulu pagi ini dan dua beranak itu kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pagar Kulim, Bechah Mulong di sini.

Wan Sepinah berkata, sejak berkahwin dengan Ahmad pada 2010, dia menyedari lelaki itu adalah seorang anak yang taat kepada ibu dan sebagai isteri dia redha apabila masa suaminya lebih banyak dihabiskan untuk Che Limah.

“Seorang kenalan menceritakan semasa arwah suami berjumpanya baru-baru ini ibunya yang ketika itu ditinggalkan sementara dalam kereta beberapa kali memanggil-manggil anaknya itu.

“Ahmad berpaling dan memberitahu supaya ibunya supaya jangan bimbang kerana mereka akan mati bersama,” katanya.

- UTUSAN ONLINE