Lima Sahabat Diperdaya Ejen Penipuan Macau Scam

  • Print

Foto: Sinar OnlineFoto: Sinar OnlineBANDARAYA MELAKA: Lima sahabat kini hidup di dalam kegelisahan selepas nama mereka digunakan ejen sindiket penipuan dipercayai 'Macau Scam' yang kononnya menawarkan satu peluang perniagaan jualan langsung.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 30 tahun itu mendakwa mereka ditawarkan peluang berkenaan oleh individu yang dikenali pada Ogos lalu dalam satu aktiviti permainan futsal di bandaraya ini.

Salah seorang mangsa dikenali sebagai Khairul, 22, berkata, lelaki terbabit yang usianya dalam lingkungan 30-an telah berjanji kononnya menerusi perniagaan itu boleh menjanjikan keuntungan lumayan.

"Tanpa berfikir panjang kami lima orang bersetuju dengan syarat setiap daripada kami perlu membuka beberapa akaun bank serta mendaftar talian telefon mudah alih dan kemudiannya kesemua kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta simkad haruslah disimpan oleh lelaki itu.

"Malah wang simpanan permulaan untuk kami buka akaun pun lelaki itu bayarkan tetapi kami perlu menyerahkan kesemua kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta simkad talian telefon mudah milik kami haruslah disimpan oleh lelaki itu," katanya.

Khairul berkata, malangnya sebulan selepas itu dua daripada mereka telah dihubungi polis, satu daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Sintok, Kedah dan seorang lagi daripada IPD Sentul, di Kuala Lumpur.

"Dua daripada kami disiasat polis kerana didapati di dalam beberapa akaun bank yang didaftar terdapat sejumlah wang antara RM10,000 hingga RM30,000 yang dipindahkan daripada beberapa akaun individu lain dipercayai mangsa sindiket berkenaan, sedangkan kami pun tidak sedar.

"Kami cuba untuk menghubungi lelaki terbabit tetapi malangnya gagal dihubungi sehingga hari ini.

"Akhirnya dua daripada kami ditahan reman selama empat hari sebelum seorang daripada kami didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi Seksyen 402 kanun yang sama," katanya.

Bimbang dengan nasib masing-masing, kesemua mereka mengadukan hal tersebut di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka.

Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya kesal terhadap yang menimpa lima sahabat terbabit malah berjanji akan menyediakan khidmat guaman untuk kes berkenaan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya berwaspada dengan kelicikkan sindiket terbabit yang memperdayakan mangsa tanpa disedari.

"Kami juga akan bekerjasama dengan polis supaya suspek bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

-Sinar Harian