Thu01182018

LAST_UPDATEWed, 17 Jan 2018 11pm

Agensi Jana Pendapatan Atas Tanah Di Perak Diminta Tunai Tanggungjawab

Datuk Seri Dr Zambry Abdul KadirDatuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

IPOH -- Kerajaan Negeri Perak meminta pihak yang membangunkan kawasan atau tanah di negeri ini khususnya agensi Persekutuan supaya menunaikan tanggungjawab mereka kepada kerajaan negeri. 

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tanggungjawab itu termasuk memberikan pulangan balik yang sewajarnya untuk digunakan oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan. 

Sebagai contoh, Zambry memuji usaha Felcra Berhad (Felcra) yang sentiasa membuat bayaran balik hasil keuntungan yang dijana menerusi pembangunan yang diusahakan di tanah-tanah kerajaan negeri. 

"Felcra memberikan komitmen yang sangat baik. Hasil yang mereka peroleh dipulangkan kepada kerajaan negeri untuk diberikan semula kepada yang layak selain diguna bagi program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat," katanya.

Zambry bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek lebihan pendapatan 2016 Felcra Berhad Wilayah Perak atas tanah Kerajaan Negeri Perak sebanyak RM1.4 juta di sini, hari ini. 

Replika cek tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad  Datuk Zulkarnain Md Eusope kepada Zambry.

Menurut Zambry, pada tahun ini Felcra membayar lebihan pendapatan sebanyak RM4.84 juta kepada kerajaan negeri Perak. 

Sementara itu, Zulkarnain berkata sejak 2017 hingga tahun ini, pihaknya telah membayar dividen sebanyak RM315 juta kepada 20,000 ribu peserta Felcra di seluruh negeri Perak. 

-- BERNAMA