Thu12142017

LAST_UPDATEWed, 13 Dec 2017 11pm

PAU2017: Teka, Coklat Wajah Siapa Paling Laris?

Foto: Ihsan pengguna media sosialFoto: Ihsan pengguna media sosial

Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang kini sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bukan sahaja memberi peluang kepada para perwakilan dan rakyat untuk mendengar amanat yang disampaikan oleh pemimpin kerajaan, malah ia turut membuka rezeki kepada para peniaga bumiputera.

Dilaporkan, sepanjang perhimpunan itu yang berlangsung dari 5 hingga 9 Disember (esok), sebanyak 170 gerai yang menawarkan pelbagai produk antaranya seperti pakaian, minyak wangi, minuman, makanan dan lain-lain dibuka di aras tiga, di sini.

Antara produk paling popular yang menjadi bualan ramai dalam kalangan perwakilan dan orang ramai yang berkunjung ke PWTC adalah koleksi coklat bar keluaran istimewa yang menampilkan wajah-wajah pemimpin UMNO dahulu sehinggalah yang terkini.

Coklat yang ditawarkan dalam enam perisa berbeza, yang setiap satunya menggunakan pembalut wajah bekas-bekas dan wajah presiden UMNO kini merupakan idea kreatif sebuah syarikat coklat tempatan, Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd.

Memetik laporan media, perisa yang ditawarkan bagi keenam-enam jenis coklat bar tersebut adalah; bijirin (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj), biskut (Tun Abdul Razak Hussein), mocha (Tun Hussein Onn), kismis (Tun Abdullah Ahmad Badawi), kacang (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan coklat perisa asli bagi presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut wakil syarikat tersebut, Norsiah Ahiddin, kelainan coklat tersebut dengan menampilkan wajah-wajah pemimpin terdahulu dan sekarang adalah sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan mereka, selain memberi peluang kepada golongan muda untuk mengenali tokoh pemimpin hebat ini.

Menariknya, selain memaparkan wajah-wajah bekas dan pemimpin parti, pada bahagian pembalut coklat itu juga dipaparkan tarikh bagi tempoh jawatan yang disandang oleh setiap presiden UMNO.

Foto:: TwitterFoto:: Twitter

Dan cuba teka, coklat perisa apa dan berwajah siapa yang paling laris? Norsiah berkata, coklat perisa asli yang menggunakan pembalut wajah Najib adalah paling mendapat sambutan dan dicari pengunjung khususnya dalam kalangan perwakilan parti.

“Sepanjang tiga hari berlangsung PAU, coklat ‘berperisa’ Najib paling cepat sold out, kita pun tak sangka ia dapat sambutan luar jangkaan,” katanya, sambil menjelaskan lebih 1,100 unit telah habis dijual, lapor sebuah portal.

Koleksi coklat ‘pemimpin UMNO’ ini dijual pada harga RM3 untuk setiap satu, namun menariknya sempena perhimpunan kali ini pengunjung boleh memdapatkan keenam-enam coklat tersebut dengan harga RM10 sahaja.

Ia dijual di gerai nombor 114 di aras tiga, PWTC.

Sementara semakan di laman sosial pula, rata-rata netizen memberi reaksi positif dan teruja dengan penawaran koleksi coklat ‘pemimpin UMNO’ itu yang disifatkan sebagai kreatif dan eksklusif.

- mD