Sun12172017

LAST_UPDATESun, 17 Dec 2017 3pm

Trump Bakar Hati Umat Islam

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengundur semula dasar berdekad lama AS dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, akan mewujudkan lebih banyak keganasan di seluruh dunia.

Kata Mahathir, pengumuman itu menambahkan lagi kemarahan umat Islam setelah tindakannya mengapi-apikan keadaan di Timur Tengah yang menyebabkan proses perdamaian Israel dan Palestin tidak dapat diteruskan.

“Tindakan ini akan membakar hati ramai orang Islam, dan saya percaya hasilnya lebih banyak keganasan berlaku di seluruh dunia,” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya, semalam.

Mahathir berkata, Israel tidak berhak berbuat demikian dan tindakan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis menyebabkan proses damai Israel dan Palestin terhenti, sebaliknya keganasan bertambah.

“Tidak seharusnya sesiapa cuba mengambil alih negara mereka. Israel sudah tentu tiada hak berbuat demikian dan saya yakin, Israel akan bertindak seolah-olah Baitulmaqdis itu ibu kota mereka, bukannya Tel Aviv lagi.

“Inilah (dia) Trump, tidak dapat menangani Korea Utara tetapi melakukan yang lebih mudah adalah dengan menekan orang Islam di Timur Tengah,” katanya.

Tegas beliau, keganasan tidak dapat dielakkan, lantaran rasa kecewa dan tiada peluang lain untuk menentang AS kerana negara Islam lemah dan tidak bersatu padu.

“Pengganas tiada cara lain, melainkan melakukan keganasan kerana mereka tiada tentera tersusun, tiada tentera laut dan udara.

“Ini adalah orang yang kecewa dan marah kerana tiada peluang lain untuk menentang AS kerana (mereka) terlalu kuat melainkan dengan cara ganas ini.

“Kita tidak sokong cara ganas dan tetapi kita tidak boleh buat apa-apa kerana dunia Islam lemah,” katanya.

- Sinar Harian