Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 10am

9 Khayal Dadah Dicekup

PAPAR: Sembilan lelaki termasuk tiga dipercayai pengedar dadah yang sedang khayal menggunakan syabu dicekup dalam serbuan di tiga lokasi berasingan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ladamah Sulaiman berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam Op Sarang yang bermula pukul 9.30 malam semalam sehingga 3.30 pagi ini.

Katanya, operasi tersebut dijalankan di Skim Penempatan Kinarut, Taman Rose Garden dan Kampung Laut.

“Polis sebelum itu menerima aduan daripada orang awam mengenai kewujudan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit, justeru satu operasi khas dijalankan untuk membanteras gejala tidak sihat itu.

“Hasilnya sembilan lelaki ditahan manakala kami turut menemukan syabu seberat 10.26 gram yang dimiliki oleh salah seorang suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama seminggu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- UTUSAN ONLINE