Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 10am

Xplorers Club Mahu Penuhi Impian Kanak-Kanak

PETALING JAYA - Xplorers Club menawarkan orang ramai menyertai kelas-kelas bukan akademik pada harga mampu milik bagi membolehkan semua golongan sama ada berkemampuan atau sebaliknya menikmati tawaran itu.

Pengasas bersama, Dustin D'orville berkata, kelab ini akan membantu ibu bapa dengan menawarkan pelbagai jenis diskaun seperti kelas pembelajaran, berenang, perjalanan keluarga, buku, alat tulis dan pelbagai faedah lain untuk ahli-ahli yang berdaftar.

"Untuk menjadi ahli kelab, mereka hanya perlu membayar RM180 dan keistimewaannya bukan hanya dinikmati seorang anak bahkan juga seluruh keluarga tanpa jumlah yang terhad.

"Bagi membuat pendaftaran dan sebarang urusan, ia boleh dilakukan melalui atas talian dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa perlu tampil ke pejabat kami," katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, beliau berkata, idea mencetuskan kelab berasaskan social enterpise itu terhasil apabila impiannya untuk bermain drum semasa kecil tidak kesampaian kerana ibu bapanya menganggap kos belajar drum sangat mahal.

"Ekoran itu, saya dan rakan-rakan menubuhkan kelab ini bagi membolehkan ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah mampu menghantar anak-anak mereka belajar muzik, sukan dan sebagainya dengan menjadi ahli kelab.

"Saya yakin melalui tawaran ini, sedikit sebanyak ia mampu mengubah dan meningkatkan jumlah anak-anak muda yang berkualiti baik dari segi fizikal mahupun mental," katanya.

Sementara itu, rakan pengasas, Viviean Wong berkata, Xplorers Club ini ditubuhkan pada September lalu bertujuannya untuk meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang gemar mengikuti bidang bukan akademik.

"Ramai keluarga tidak tahu mengenai apakah aktiviti atau pusat pembelajaran yang sesuai untuk anak-anak mereka. Kita di sini menyediakan aktiviti yang sesuai untuk mereka yang mana sekarang kita beri tumpuan kepada anak-anak yang berusia lingkungan 5-17 tahun.

"Buat masa ini, kita beri fokus kepada rakyat di negara ini dan berhasrat untuk memperkenalkan Xplorers Club ini ke negara luar seperti China, Indonesia dan Singapura," katanya.

-Sinar Harian