Thu12142017

LAST_UPDATEWed, 13 Dec 2017 11pm

Bekas Pengetua Madrasah Mengaku Tidak Bersalah

TAWAU: Seorang bekas pengetua sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap empat pelajar bawah umur, pada tahun lalu.

Tertuduh yang berumur 35, memohon dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap empat pelajar lelaki berusia antara 14 dan 15 tahun di sebuah rumah di sini, antara jam 10.45 pagi hingga 10.20 malam pada Jun dan Ogos 2016.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ferhansha memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM16,000 bagi empat pertuduhan itu dengan masing-masing sebanyak RM5,000 untuk pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat sebanyak RM3,000, setiap satu, dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.

"Tertuduh juga dilarang menghampiri atau mengganggu mangsa," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Berita Harian