Sun12172017

LAST_UPDATESun, 17 Dec 2017 3pm

Ahli PAS Sebar Fitnah Khalwat Di PAU, Puteri UMNO Pula Berzikir... Terbaik!

Bahang kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini kian terasa walaupun Presiden UMNO masih belum memalu gendang perang menuju hari paling penting buat seluruh rakyat negara ini.

Tambah membuatkan parti pembangkang tidak senang duduk apabila Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini menyeru jentera UMNO dalam kesiapsiagaan untuk berjuang mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Perang kali ini yang bergelar Bapa Segala Pilihan Raya, kita akan bertempur, berlawan... lawan habis-habisan!.. Allahu Akbar! Allahu Akbar!," katanya ketika berucap di hadapan 2,718 perwakilan, hari ini.

Di sebalik tumpuan terarah kepada ucapan dasar presiden parti, gelagat dan mesej yang disampaikan perwakilan pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017, yang bermula pada 5 Disember lalu turut menarik perhatian.

Salah satunya adalah status yang dimuat naik Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil Siti Aisyah Mahmood di laman Facebook beliau semalam mengenai sifat terpuji seorang perwakilan, Nur Erney Jamil.

Menerusi status yang dikongsi, Siti Aisyah melahirkan rasa kagum terhadap sifat yang dimiliki Nur Erney, yang juga merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Labuan kerana mendengar perbahasan sambil berzikir.

“Sedang saya fokus pandang jurucakap berbahas, saya terdengar di cuping telinga suara halus seperti berbisik di sebelah saya. Saya toleh dan saya lihat... saya kagum!

“Rupanya puteri di sebelah saya berzikir sambil menekan tasbih digital. Dalam dia mendengar perbahasan sempat dia menyebut nama Allah. MasyaAllah hebat orangnya,” demikian tulis Siti Aisyah dalam entrinya, semalam.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh Nur Erney itu jelas membuktikan bahawa UMNO bukan sahaja memiliki ahli yang hanya mahu berpolitik, malah muslimah yang berkualiti.

“Tidak suka mencerca dan suka menghina orang lain. Rupanya beliau adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Labuan! Sangat ‘low profile’,” tambahnya.

Siti Aisyah turut menempelak sikap segelintir ahli politik pembangkang yang dilihat lebih suka menyebarkan fitnah dan melempar tuduhan tidak berasas termasuk dakwaan melibatkan isu berkhalwat.

“Dalam sedap kita memfitnah, kita jangan lupa doa orang yang teraniaya pasti dimakbulkan. Menuduh orang berkhalwat tanpa bukti adalah tuduhan yang melampau.

“Apatah lagi keluar dari mulut Muslimah PAS... Allahuakbar. Semoga Allah mengampunkan keterlanjuran kata-katanya. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya,” katanya.

Siti Aisyah berkata demikian dipercayai ada kaitan dengan tuduhan yang dibuat ahli PAS, Wan Ashima Kamaruddin yang mendakwa berlaku kegiatan maksiat setiap kali berlangsung PAU.

Wan Ashima, yang merupakan bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian Klang menerusi laporan portal rasmi PAS Harakahdaily mendakwa banyak pasangan bukan muhrim berkhalwat ketika perhimpunan parti itu berlangsung.

Dakwaan tersebut kononnya berdasarkan pengetahuan beliau selama 17 tahun bersama UMNO, dan Wan Ashima menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) supaya membuat operasi besar-besaran bagi menangkap pasangan khalwat.

"Berapa ramai pasangan yang berkhalwat, berapa ramai pasangan bukan Islam bersama dengan orang Islam.

"Dekat situ kita tengok, berapa ramai pasangan isteri orang, suami orang bersama dalam satu bilik," lapor sebuah portal memetik Wan Ashima kepada Harakahdaily, pada 4 Disember lalu.

Bagaimanapun, portal lidah rasmi PAS itu semalam (Rabu) melalui satu kenyataan berkata telah mengeluarkan artikel tuduhan aktiviti khalwat di PAU atas alasan pihak pengarang terlepas pandang dan ia bukan datang daripada parti PAS.

Timbalan Ketua Pengarangnya, Azmi Yusof berkata ia adalah dakwaan peribadi Wan Ashima dan tidak mewakili parti tersebut.

PAU 2017 berlangsung sehingga 9 Disember 2017 ini.

- mD