Thu12142017

LAST_UPDATEWed, 13 Dec 2017 11pm

MAP Berazam Popularkan Powerlifting Di Malaysia

PETALING JAYA – Persatuan Powerlifting Malaysia (MAP) yang baharu ditubuhkan, berazam menjadikan powerlifting sebagai sukan popular di negara ini pada masa akan datang.

Presiden MAP Dayalan Jeevan berkata dengan minat yang semakin meningkat terhadap sukan menggunakan kekuatan fizikal itu, badan induk kebangsaan tersebut mampu melahirkan atlet bertaraf dunia yang boleh menyumbangkan pingat pada kejohanan antarabangsa.

Ditubuhkan setahun lepas, sebelum mendapat pengesahan daripada Kementerian Belia dan Sukan pada Mei lepas, MAP kini mempunyai kira-kira 300 atlet powerlifting yang aktif, dengan berpotensi untuk mewakili negara.

Selepas menjadi anggota Persekutuan Powerlifting Asia (APF) pada September lepas, dan Persekutuan Powerlifting  Antarabangsa (IPF) bulan lepas, MAP kini berusaha menubuhkan anggota gabungan dalam kalangan negeri-negeri bagi meningkatkan jumlah anggota serta mencungkil bakat baharu.

“Matlamat kami dalam masa setahun ini adalah untuk meningkatkan jumlah peminat sukan berkenaan, menghantar lebih ramai atlet menyertai kejohanan antarabangsa, dan menganjurkan Terbuka Malaysia pada Mac depan. Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita mahu mempunyai persatuan-persatuan negeri untuk melihat pembangunan di peringkat akar umbi dan melahirkan jaguh di peringkat Asia.

“Hasil usaha yang dilakukan IPF dan APF untuk menyenaraikan powerlifting pada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik, kita berharap dapat menyumbangkan pingat kepada Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sukan powerlifting dilihat seakan-akan angkat berat dan para-powerlifting (atlet kurang upaya), namun powerlifting berbeza dari segi peralatan dan format digunakan berbanding angkat berat.

“Kita hanya boleh menggunakan peralatan yang disahkan IPF untuk kejohanan. Peralatan digunakan sedikit berbeza berbanding angkat berat.

“IPF juga bekerjasama rapat dengan  Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan hanya mengiktiraf organisasi yang bebas dadah. Kesemua ahli dikehendaki mengangkat sumpah untuk menjauhkan diri daripada dadah dan bahan terlarang,” kata Dayalan, yang sebelum ini seorang atlet  powerlifting, sebelum memegang jawatan selaku presiden MAP.

Ujian skuad powerlifting Malaysia dalam tempoh terdekat adalah menyertai Kejohanan Powerlifting Klasik Asia dari 4 hingga 10 Dis di Alappuzha di Kerala, India, diikuti Kejohanan Powerlifting Klasik Dunia di Calgary, Kanada pada Jun tahun depan.

Bagi kejohanan Klasik Asia, Dayalan berkata empat atlet iaitu Juara Dunia 2016 Gee Ci Long dalam kategori terbuka lelaki bawah 59kg; Carmille Wong (terbuka wanita B-63kg), Yeoh Han Pin (terbuka lelaki B-74kg) dan Syazwan Elias (terbuka lelaki B-83kg), akan menggalas cabaran bagi membawa pulang lapan pingat sebarang warna pada kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Gee, 29, berazam untuk muncul juara pada kejohanan Klasik Asia dan menamatkan cabaran dalam kedudukan podium pada Klasik Dunia.

“Saya mula membuat persiapan kira-kira dua tahun lepas, selepas menyertai kejohanan kompetitif, dan menyedari jurang prestasi saya dengan atlet bertaraf dunia tidak besar. Persediaan menghadapi Kejohanan Asia berjalan lancar dan berharap dapat menampilkan Malaysia sebagai pasukan disegani di Asia,” katanya.

    -- BERNAMA