Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 10am

Langkah Beku Pembangunan Mewah Campur Tangan Stabil Pasaran - Johari

Datuk Seri Johari Abdul Ghani.Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan membekukan pembangunan mewah mulai 1 Nov 2017 merupakan tindakan campur tangan untuk menstabilkan pasaran.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pembekuan itu adalah sementara bagi mengurangkan lebihan penawaran hartanah di pasaran.

"Kita perlu membuat semakan mengenai perkara ini dan sebaik sahaja segala-galanya menjadi normal, sampai ke tahap yang munasabah, saya yakin kita tidak akan membekukannya.

"Anda tidak boleh membandingkan kita dengan pasaran lain di dunia kerana semua orang mempunyai keunikan menjaga ekonomi mereka sendiri. Tidak adil untuk membandingkan kita (dengan mereka)," katanya selepas pelancaran produk inovatif sewa untuk miliki Maybank Islamic Bhd, HouzKEY, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, Ketua Perbankan Global Maybank, Datuk Muzaffar Hisham dan CEO Maybank Islamic Bhd, Datuk Mohamed Rafique Merican.

Johari berkata kerajaan masih belum menerima maklum balas daripada persatuan pemaju hartanah mengenai langkah itu.

"Kami belum menerima maklum balas daripada mereka ... apa sahaja yang mereka mahu mengubah berhubung langkah ini, saya rasa mereka juga menyedari bahawa (lebih daripada) 130,000 unit, yang siap dan sedang dibina, kini tidak terjual," katanya.

Johari berkata institusi kewangan juga enggan menawarkan pembiayaan bagi unit kediaman mewah.

Kerajaan, melalui keputusan Kabinet, telah memutuskan untuk membekukan kelulusan baru bagi pembangunan pusat membeli-belah, pejabat, kondominium mewah dan pangsapuri berperkhidmatan berharga lebih dari RM1 juta dan ke atas.

Pembekuan itu berkuat kuasa selepas Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa negara kini mempunyai rekod tinggi unit kediaman yang tidak terjual, terutamanya bagi kategori di atas RM250,000.

Menurut bank pusat, jumlah unit tidak terjual pada suku pertama tahun 2017 adalah 130,690 unit.

-- BERNAMA