Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 10am

Puncak Niaga Saman Kerajaan Selangor

SHAH ALAM - Puncak Niaga Holdings Bhd memfailkan tuntutan saman berjumlah RM14 bilion ke atas bekas Menteri Besar dan penyandang serta Kerajaan Negeri Selangor berhubung pengambilalihan industri air negeri itu.

Puncak Niaga dalam satu kenyataan kelmarin mendakwa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk memaksa Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk pengambilalihan itu.

Selain itu, Puncak Niaga juga mendakwa, kerajaan Selangor bertanggungjawab terhadap perbuatan ketua negeri mereka.

Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham pada 11 November 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Ia juga menuntut kehilangan peluang perniagaan di dalam dan di luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

Pengurusan kes itu ditetapkan pada 28 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Untuk rekod, Khalid sewaktu memimpin Selangor menawarkan pengambilalihan ekuiti dan liabiliti keempat-empat syarikat konsesi berkenaan berjumlah RM9.65 bilion.

Sebelum Khalid meletak jawatan, beliau berjaya mengambil alih tiga syarikat berkenaan kecuali Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) yang dikatakan tidak bersetuju dengan tawarannya.

-Sinar Harian