Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 10am

Mahu Jadi Hab Seni Budaya

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat mahu menjadi hab seni budaya apabila merancang untuk mewujudkan pusat pengumpulan dan pameran pelbagai produk seni dan budaya Kelantan di sini.

Guru besarnya, Zamri Mukhtar berkata, sekolah ini akan ada galeri budaya sendiri yang akan menempatkan produk seni dan budaya Kelantan merangkumi cabang kesusasteraan, wayang kulit, permainan tradisional, muzik, alat pertanian dan perikanan tradisional.

Katanya, idea itu tercetus susulan kejayaan program Karnival Kesenian dan Kebudayaan SK Bunohan yang diadakan selama dua hari di sekolah ini apabila pelbagai khazanah seni dan budaya Kelantan diketengahkan.

Advertisement

Powered By YuMe
“Pihak sekolah hasil bantuan guru dan kakitangan berjaya mengumpulkan lebih 100 produk seni dan budaya Kelantan, jadi apa yang kami miliki ini seharusnya dijaga dengan menempatkannya di sebuah galeri.

“Antara yang berjaya dikumpul adalah alat menangkap ikan cara tradisional seperti bubu, sempila, peralatan dapur lama seperti lesung batu, pengisar batu.

“Alat permainan rakyat Kelantan, peralatan muzik tradisional, tempayan, basikal tua dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya galeri budaya itu nanti, ia dapat mendedahkan seni budaya lama masyarakat Kelantan itu sekali gus memberi peluang kepada pelajar sekolah di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat mengenali warisan budaya Kelantan dengan lebih dekat.

Katanya, jika tidak diketengahkan mungkin generasi muda tidak mengenalinya sedangkan itu adalah warisan budaya Kelantan yang perlu dipertahankan.

Sempena program Karnival Kesenian dan Kebudayaan SK Bunohan, perasmian penutup disempurnakan oleh Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, turut dimeriahkan dengan persembahan permainan tradisional, joget Kelantan, dikir barat, pameran kebudayaan Kelantan dan alat-alatan pertanian dan perikanan lama dan alat permainan tradisional.

Perasmian disempurnakan oleh Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Che Omar Mohamad.

Zamri berkata, dalam usaha mencari dana Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini, diadakan Hi-Tea sempena karnival itu bagi mengutip derma untuk tabung tersebut.

“Wang yang diperoleh itu akan digunakan untuk pembangunan akademik dan merealisasikan kewujudan galeri budaya di sekolah ini nanti,” katanya.

-Sinar Harian